Kegemilangan seni kraftangan tradisional tidak akan sempurna tanpa sumbangan tukang kraf yang dianugerahkan dengan kepakaran dan kemahiran yang diwarisi sejak turun-temurun. Penampilan, sumbangan serta cetusan ilham mereka turut berperanan dalam memartabatkan seni kemahiran tangan warisan. Kemahiran mengukir, menganyam, menenun dan menempa pada awalnya hanya untuk memenuhi keperluan harian. Alam dan kehidupan menjana minda dan ilham tukang-tukang kraf lalu diterjemah melalui karya seni yang halus dan menarik.
Kemampuan mereka melahirkan reka corak yang begitu harmoni dan menarik diadun pula dengan kehalusan pertukangan memaparkan pengamatan dan kepekaan tukang kraf yang tinggi dalam menghasilkan karya seni tradisional yang menjadi lambang jati diri bangsa.Justeru itu, Kraftangan Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan Skim ADIGURU KRAF yang bertujuan memelihara dan memulihara seni kemahiran ini daripaada pupus dan tenggelam dimamah zaman. ADIGURU KRAF yang diperkenalkan pada tahun 1987 telah melantik tukang kraf mahir dalam pelbagai bidang kraf warisan. Kesinambungan seni warisan ini diteruskan dengan melaksanakan ANUGERAH TOKOH KRAF NEGARA pada tahun 1998 bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada tukang kraf mahir yang telah banyak menyumbang jasa dalam memekarkan seni kraf warisan.
Senarai Tokoh Kraf Negara
Tahun | Tokoh | Bidang Kraf |
2018 | Hajah Azizah Binti Mohd Yusof | Tekatan Benang Emas |
2011 | Allahyarham Haji Ab Manan Bin Haji Yakub | Logam |
2007 | Hajah Habibah Zikri | Songket |
2002 | Hajah Zainab @ Ngah Bt. Mamat | Songket |
1998 | Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wook | Ukiran Halus |