Adiguru Kraf Wau

Samat bin Man

Nama
Samat bin Man
Bidang Kraf
Aneka Kraf
Adiguru
Adiguru Kraf Wau
Negeri
Perlis
Tarikh Lahir
18 Mei 1946
Lantikan Pertama
2018
PENGENALAN
Encik Samat bin Man atau lebih dikenali sebagai “Pak Non” di Negeri Perlis sangat terkenal sebagai seorang pembuat wau di sebelah utara Semenanjung Malaysia. Ilmu yang dipelajari bagi menghasilkan wau adalah daripada orang Kelantan yang sering turun ke Negeri Perlis semasa musim menuai padi pada tahun 1970-an. Biasanya selepas habis musim menuai padi mereka akan bermain wau bagi menghilangkan perasaan kepenatan setelah membanting tulang menuai padi.

Encik Samat bin Man telah dilahirkan pada 18 Mei 1946 di Kuala Perlis. Beliau telah bergiat aktif dalam menghasilkan wau sejak dari tahun 1972 lagi. Beliau telah berumahtangga dan mempunyai lima orang anak dan dua orang daripadanya mewarisi skil kemahiran beliau dalam menghasilkan wau. Beliau juga sering mendapat panggilan bagi mengadakan kursus-kursus membuat wau di peringkat Sekolah Rendah dan Menengah di sekitar Negeri perlis. Beliau juga sering dijemput sebagai juri bagi setiap kali diadakan Pertandingan Layang-Layang Kebangsaan di Pasir Gudang, Johor Bahru.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Encik Samat atau Pak Non sering menggunakan dan menggubah reka corak yang berunsurkan motif flora dengan penghasilan ukiran motif bunga sebanyak 5 lapis berbanding dengan pencipta wau yang lain yang menggunakan 3 lapis ukiran sahaja. Walau bagaimanapun, penghasilan wau tersebut adalah mengikut citarasa dan permintaan pelanggan. Sekiranya pelanggan yang menempah dengan ukiran bunga penuh, Pak Non akan menggunakan teknik 5 lapis bagi menghasilkan wau tersebut.


Hasil seni penghasilan produk wau yang dibuat oleh beliau sering digunakan sebagai memasuki pertandingan oleh peserta–peserta pertandingan wau diperingkat negeri atau kebangsaan. Terdapat juga wau yang dihasilkan sebagai cenderamata dan hiasan seperti yang ditempah oleh pihak Istana Arau Negeri Perlis, Hotel–hotel peranginan dan juga agensi penerbangan negara Malaysia Airline System (MAS). Karya seni beliau telah mendapat perhatian dari pihak syarikat penerbangan MAS apabila beliau menerima tempahan wau bulan berukir untuk dijadikan simbol kepada logo syarikat tersebut.

Pak Non akan menghasilkan wau mengikut tempahan yang diterima daripada pelanggan sama ada secara eksklusif atau tempahan biasa. Variasi rekaan wau yang dibuat mengikut rekacorak yang diminta oleh pelanggan sama ada untuk dibuat pertandingan atau untuk cenderamata korporat. Beliau juga ada menghasilkan wau pasang siap (Do It Yourself) dengan kerjasama pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pembelajaran kepada lapisan masyrakat mengenai seni penghasilan wau terutama sekali kepada pelajar Sekolah Menengah dan Rendah.

Pak Non juga pakar buat wau yang tidak lokek dalam berkongsikan ilmu pengetahuan yang beliau ada kepada generasi muda yang berminat untuk mempelajari bidang pembuatan wau. Beliau sering menjadi pengajar kepada para peserta kursus yang dilaksanakan oleh Jabatan-jabatan Kerajaan, IPTA/S dan pihak Sekolah. Beliau juga telah mewariskan ilmu pembuatan wau ini kepada dua anak beliau yang telah menjadi tukang mahir dalam pembuatan wau. Anak-anak beliau juga sering dijemput menjadi pengajar selain beliau di kursus-kursus yang dianjurkan oleh badan-badan kerajaan seperti di peringkat Sekolah dan IPTA/S.



Pak Non sentiasa memastikan bahan-bahan yang digunakan bagi menghasilkan wau daripada sumber yang berkualiti. Buluh yang dipilih adalah dari jenis pokok buluh yang berbatang tua supaya senang apabila dilentur. Setelah dipotong, buluh yang disisih akan dijemur sehingga kering dan diraut mengikut saiz wau yang akan dibuat. Peralatan seperti pisau, benang dan kertas jagung digunakan bagi membina struktur wau sebelum menambah kertas ukiran sebagai tambahan kepada rekacorak sesuatu wau tersebut.



Penambahan dalam rekacorak wau yang dibuat adalah mengikut teknik 3 lapis dan 5 lapis yang akan dilaksanakan sebagaimana tempahan yang diterima. Setiap tempahan yang diterima akan dibuat secara teliti dan cermat agar pelanggan yang menerima wau yang telah siap dengan perasaan yang puas hati dan gembira.

PENCAPAIAN
Pak Non adalah seorang yang sangat berdedikasi dan bertanggungjawab dalam setiap hasil karya seni yang dihasilkan. Oleh sebab komitmen beliau yang lama dalam penghasilan produk wau sejak dari tahun 1972 lagi, beliau telah diberi pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf pada tahun 2018.

Beliau juga pernah menjadi juara dua kali berturut-turut semasa Pertandingan Wau peringkat ASEAN di Satun, Thailand pada 2015 hingga 2016. Setiap bulan Disember setiap tahun Negeri Johor akan mengadakan pertandingan Layang-layang diperingkat Kebangsaan dan Pak Non biasanya akan dijemput sebagai juri pertandingan. Pada tahun 2018 pun beliau telah mendapat jemputan untuk dilantik sebagai juri bagi pertandingan tersebut.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

  • Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Seksyen 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Kemaskini : 26/11/22 • Jumlah Pelawat : 21296546
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman