Adiguru Kraf Tenunan Diraja Pahang

Puan Natipah @ Nortipah Abd. Kadir

Nama
Puan Natipah @ Nortipah Abd. Kadir
Bidang Kraf
Tekstil Tenunan
Adiguru
Adiguru Kraf Tenunan Diraja Pahang
Negeri
Pahang
Tarikh Lahir
4 November 1944
Lantikan Pertama
2006
LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Puan Nortipah Binti Abdul Kadir menetap di Pulau Keladi sejak dilahirkan. Beliau mempunyai pertalian darah dengan Al-Mahrum Keraing Aji (Tuk Tuan) yang menjadi pelopor kain tenun Pahang dan mengikut salasilah keluarga penenun ini adalah generasi ke 12 yang masih mengusahakan Tenun Sutera Pahang. Sejak turun temurun keluarga penenun-penenun ini tinggal di sekitar Pulau Keladi, Benta, Jambu, Mukim Langgar dan daerah Pekan, Pahang.



Kemahiran menenun ini diwarisi sejak zaman remaja lagi memacu minat yang mendalam menyebabkan tokoh ini mudah menerima segala yang dipelajarinya. Sehingga kini tokoh ini merupakan satu-satunya pewaris Tenun Sutera Pahang yang masih aktif.

Beliau mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga untuk bergiat secara serius dalam bidang tenunan ini. Usaha yang tidak mengenal jemu dan putus asa ini telah membuahkan hasil. Beliau banyak menerima tempahan daripada kerabat diraja, pembesar-pembesar negara dan individu.



Beliau juga adalah di antara penenun yang paling dikenali dan disegani di negara. Walaupun kemahiran beliau dalam bidang tenunan telah diketahui, namun beliau masih berusaha menimba pengetahuan dengan menyertai pelbagai bengkel dan seminar seperti:
  1. Bengkel Pewarnaan Semulajadi Sarawak anjuran Kraftangan Malaysia;
  2. Bengkel Tenun Ikat Pakan anjuran Kraftangan Malaysia;
  3. Bengkel Seni Gerus dan Seni Telepuk anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan Malaysia.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI TOKOH

Arus perubahan masa turut mempengaruhi perkembangan pengeluaran fabrik tempatan dan termasuklah juga kain-kain Tenun Pahang. Sebagai seorang pengusaha dan pengeluar fabrik tenunan, beliau sedikit sebanyak mengadaptasi pembaharuan tersebut. Sungguhpun demikian beliau memastikan ciri-ciri tradisional terutama pada reka corak dan petua-petua lama dipatuhi untuk mengekalkan identiti kain Tenun Pahang yang terkenal dengan keindahan dan kehalusan kain tenun.

Beliau mempunyai pengalaman dan kepakaran khususnya dalam menghasilkan reka corak kain tenun. Antara corak kain yang dicipta dan ditenun ialah corak tapak catur bunga emas berkepala anak lebah, kain corak Pahang berkepalakan anak lebah. Menurut beliau lagi kain Tenun Pahang mempunyai identiti tersendiri iaitu di bahagian "gigi" (kaki) kain yang ditenun dihiasi dengan corak Sepit Udang. Reka corak inilah yang membezakan kain Tenun Pahang dengan kain tenun dari negeri-negeri lain.



Bagi menjamin kualiti kain yang dihasilkan tokoh ini mengendalikan sendiri proses-proses menenun dari awal sehingga akhir. Beliau mempunyai kemahiran dalam menghasilkan warna-warna dari bahan semulajadi. Ini adalah kerana sebelum warna sintetik diperkenalkan, beliau mewarnakan benang-benang sutera dengan kaedah warna-warna semulajadi.

Sebagai pewaris seni kain Tenun Pahang, tokoh ini masih mengamalkan dan mematuhi beberapa pantang larang dan petua-petua yang telah diturunkan dengan memilih hari Khamis untuk memulakan kerja-kerja menenun. Amalan-amalan tradisi yang tersirat dengan pelbagai falsafah dan pantang larang ini merupakan sebahagian daripada penghayatan beliau dalam mengekalkan identiti dan menghasilkan kain Tenun Pahang.



Beliau juga memberi petua mengenai penjagaan kain sutera supaya ianya tidak mudah luntur atau lusuh. Limau nipis digunakan untuk membasuh kain tenun Pahang dan kemudian dibilas dengan air bersih. Kain yang telah dibilas diregang dan dijemur di tempat redup.

Kecintaan dan penghayatan beliau pada seni warisan ini dapat dilihat pada himpunan koleksi kain tenun lama warisan keluarga yang masih disimpan dengan baik dan terpelihara. Beliau masih bersemangat untuk melestarikan fabrik tenunan tradisi ini dengan mengekalkan corak lama dan sentuhan moden selaras dengan perubahan dan peredaran zaman. Beliau juga mempunyai kemahiran menenun Kain Limar iaitu sejenis kain tenun tradisional yang telah pupus serta mampu membuat Sulaman Tekat Gubah.

PENGIKTIRAFAN

Kegigihan dan komitmen beliau yang tinggi dalam mempertahankan warisan tenunan ini mendapat perhatian dari Kerajaan Negeri Pahang. Sebuah pusat kraftangan telah didirikan di Pulau Keladi yang terletak 5 km dari Pekan Bandar Diraja. Beliau diberi kepercayaan mengetuai kumpulan penenun yang menjalankan kegiatan mereka di pusat ini. Pusat kraftangan yang didirikan pada tahun 1980an ini merupakan pusat tenunan yang terbesar di Pahang dan telah menyediakan peluang kepada penenun bekerja dan menjual hasil tenunan mereka.



Di samping mengusahakan tenunan yang ditempah, beliau juga turut meluangkan masa memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada 15 orang pelatih di Pusat Tenun Pulau Keladi ini termasuk juga kakitangan dan pelatih-pelatih dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Beliau turut mewariskan kemahiran ini kepada anaknya yang mengusahakannya secara sepenuh masa.

Kejayaan tokoh ini kerap mendapat liputan daripada pelbagai media masa tempatan. Keindahan kain tenunan beliau turut mendapat pengiktirafan antaranya:
  1. Anugerah Rekaan Kraf 1996/97 anjuran Kraftangan Malaysia;
  2. Penghargaan Pertandingan Wicitra 1990 anjuran Kraftangan Malaysia;
  3. Penghargaan sempena Perayaan Hari Peladan, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 1995 daripada Kementerian Pertanian Malaysia;
Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja pada tahun 2006 bagi menghargai sumbangan beliau dalam mempertahankan seni warisan bangsa.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

  • Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Seksyen 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Kemaskini : 26/11/22 • Jumlah Pelawat : 21296559
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman