Adiguru Kraf Anyaman Bergerang

Ngot binti Bi

Nama
Ngot binti Bi
Bidang Kraf
Hasil Rimba
Adiguru
Adiguru Kraf Anyaman Bergerang
Negeri
Sarawak
Tarikh Lahir
30 Jun 1932
Lantikan Pertama
2014
PENGENALAN
Puan Ngot binti Bi merupakan seorang usahawan dalam seni pembuatan kraf warisan Sarawak ‘Anyaman Pandan Tikar Bergerang’. Anyaman Tikar Pandan Bergerang merupakan hasil kraf tangan tekstil Melayu Sarawak yang menjadi kebanggaan sejak dahulu hingga sekarang. Keunikan ciptaan ini tergambar pada kreativiti, kehalusan dan kesungguhan penganyam yang begitu peka kepada alam semulajadi dan pengaruh kebudayaan.

Puan Ngot binti Bi adalah seorang usahawan yang bergiat aktif dalam membuat anyaman tikar bergerang. Beliau dilahirkan pada 30 Jun 1932 di Kampung Semera, Sadong Jaya, Sarawak. Beliau telah bergiat aktif dalam menghasilkan tikar bergerang sejak tahun 1999. Hasil daripada perkahwinan beliau telah dikurniakan tujuh orang anak dan dua orang daripadanya telah di asuh untuk mengikuti jejak langkah beliau dalam menghasilkan anyaman tikar bergerang.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Anyaman pandan bergerang adalah dipercayai anyaman tikar yang diwarisi oleh masyarakat Melayu Sarawak. Anyaman ini merupakan anyaman tikar berlapis yang mana agak luar biasa tekniknya. Ianya dihiasi dengan petak-petak yang melambangkan motif dan corak tertentu mengikut kepercayaan dan amalan pengusaha kraf dahulu. Teknik pembuatan anyaman tikar bergerang akan pupus sekiranya tidak ada usaha untuk memperkenalkannya kepada genarasi baru. Ketekunan dan keyakinan beliau di dalam menghasilkan anyaman pandan tikar bergerang yang bermutu serta kemas dengan motif-motif alam semulajadi menjadikan pembuatan tikar bergerang beliau diminati oleh pelbagai pihak.



Setiap anyaman tikar bergerang yang dihasilkan oleh Puan Ngot mempunyai nilai dan identiti tersendiri seperti ragam hias motif seperti ‘buah mempelam, biji bunut, motif pedang, motif katak dan motif jambatan yang menjadi identiti kepada anyaman bergerang. Kemahiran beliau dalam pembuatan anyaman tikar pandan bergerang ini telah menarik minat orang ramai ingin memilikinya dan beliau turut menerima tempahan dari pencinta seni dari dalam dan luar negeri Sarawak. Anyaman tikar pandan bergerang yang mempunyai corak alam flora telah menarik minat orang-orang tertentu. Biasanya tempahan dibuat khusus untuk simpanan dan digunakan untuk hamparan untuk tetamu yang datang ke rumah. Puan Ngot binti Bi juga ada menerima tempahan daripada orang kampung serta orang-orang kenamaan.

Pada masa dahulu anyaman tikar pandan bergerang ini direka khusus pembuatannya untuk kegunaan pelbagai di antaranya sebagai tikar sembahyang, alas menyambut kelahiran anak sulong, alas di dalam keranda orang yang telah meninggal dunia, alas untuk hamparan duduk pengantin lelaki semasa upacara akad nikah serta untuk hamparan di hadapan majlis-majlis tertentu.



PENCAPAIAN
Motif dan rekaan pada pembuatan anyaman tikar bergerang ini amat terhad namun hasil daripada kemahiran yang diperolehi akan terus diolah dengan pembuatan tikar-tikar yang bersaiz panjang dan lebar dengan menampakkan petak-petak yang telus. Apa yang uniknya tikar tersebut boleh digunakan dikedua-dua belah permukaan. Di atas usaha dan keunikikan tikar pandan bergerang, Puan Ngot binti Bi pernah menerima anugerah ‘Seal Of Excelent’ Handicraft Products in Southeast Asia dari UNESCO pada tahun 2005.

Kesungguhan beliau menghasilkan anyaman tikar pandan bergerang yang popular di Sarawak telah membawa beliau diberikan anugerah Adiguru Kraf Anyaman pada tahun 2014. Selama lebih kurang lima belas tahun beliau menghasilkan anyaman tikar pandan bergerang usaha beliau telah banyak menghasilkan pendapatan kepad beliau selama ini.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

  • Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Seksyen 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Kemaskini : 06/12/22 • Jumlah Pelawat : 21290956
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman