Adiguru Kraf Ukiran Kayu

Encik Wan Mustafa bin Wan Su

Nama
Encik Wan Mustafa bin Wan Su
Bidang Kraf
Aneka Kraf
Adiguru
Adiguru Kraf Ukiran Kayu
Negeri
Terengganu
Tarikh Lahir
5 Mei 1939
Lantikan Pertama
2007
LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Ukiran kayu merupakan satu lagi seni kraf warisan yang telah lama dihasilkan oleh masyarakat tempatan. Di antara pengukir terkenal dan disegani ialah Encik Wan Mustafa Wan Su yang dilahirkan pada 5 Mei 1939. Beliau telah berkecimpung dalam bidang ukiran selama 39 tahun. Kemahiran asas mengukir diperolehi daripada ayahandanya, Encik Wan Su bin Wan Othman yang merupakan seorang pengukir tersohor negara dan juga Adiguru Kraf Ukiran Kayu.

Beliau telah berjaya membuka galeri ukiran kayu yang dikenali sebagai Balai Seni Wan Mustafa Wan Su. Di sini beliau menyiapkan tempahan yang diterima dengan dibantu oleh 30 orang pengukir mahir dan separuh mahir. Balai Seni ini juga turut memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda setempat. Wan Mustafa turut memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada pengukir muda yang berminat mendalami seni ukiran trradisional.



Dewan Bahasa Dan Pustaka telah melantik beliau sebagai salah seorang daripada pengkaji istilah bahasa bagi bidang ukiran berdasarkan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh beliau. Beliau merupakan pakar rujuk dalam bidang ukiran kepada individu, pelajar, agensi kerajaan dan juga swasta.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Penghayatan Wan Mustafa terhadap seni ukiran yang diwarisi sejak turun temurun dapat dilihat pada hasil kerjatangannya dan juga pemilihan pengukir-pengukir yang hendak bekerja dengannya. Bagi memastikan setiap ukiran yang dihasilkan mempunyai identiti tersendiri, Wan Mustapha memastikan setiap pengukir yang bekerja dengan beliau tidak pernah bekerja dengan mana-mana tukang ukir.



Bagi Wan Mustapha nilai dan kualiti hasil kerja terletak pada kesempurnaan sesebuah ukiran. Beliau sendiri yang akan memastikan kualiti pada setiap produk ukiran mencapai tahap yang memuaskan sebelum diserahkan kepada pelanggan. Seringkali beliau menghalusi dan memperbaiki produk-produk ukiran yang diukir oleh pekerjanya.

Di persekitaran rumah dan Balai Seni Wan Mustapha dirimbuni dengan pepohon kayu dan bunga-bunga yang mekar dan menjadi inspirasi bagi setiap karya seni ukiran beliau.

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Selain mewariskan kepakaran dan pengetahuan beliau kepada anak lelakinya yang mempunyai kelulusan sebagai arkitek, beliau turut memainkan peranan besar dalam usaha mengembangkan seni warisan ini. Beliau pernah memberikan latihan dan tunjuk ajar kepada pelbagai pihak yang berminat untuk mempelajari seni ukiran kayu termasuklah :-
  1. Guru-guru daripada Pusat Perkembangan Korikulum Jalan Duta Kuala Lumpur;
  2. Guru daripada Maktab Perguruan Batu Rakit, Terengganu;
  3. Belia daripada Jabatan Belia Dan Sukan Malaysia dan juga Kraftangan Malaysia.



Beliau juga turut menerima dan menyiapkan pelbagai jenis tempahan ukiran kayu sejak tahun 1980an hingga kini. Di antara hasil kerja menyerlahkan kreativiti beliau adalah seperti :-
  1. Istana Muktabillah Terengganu (1980an);
  2. Muzium Terengganu (2003);
  3. Istana Melawati Putera Jaya (2003); dan
  4. Balai Seni Mustapha Wan Su merupakan yang mercu tanda kejayaan beliau.

SUMBANGAN TERHADAP INDUSTRI KRAF

Encik Wan Su telah banyak menyumbang kepada pembangunan industri kraf negara sepanjang penglibatan beliau dalam industri ini. Di antara sumbangan beliau yang tidak ternilai adalah seperti:-
  1. Pakar rujuk seni ukiran tradisional kepada penuntut dari institusi pengajian tinggi;
  2. Penceramah Seni Ukiran Melayu di Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Malaysia dan lain-lain IPT (1980 - 1990an);
  3. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Istilah Seni Ukir-Dewan Bahasa Dan Pustaka; dan
  4. Ahli dalam Jawatankuasa Jejak Warisan Terengganu anjuran Pelancongan Malaysia.



Bagi menghargai usaha dan kegigihan beliau dalam bidang ukiran yang menjadi kebanggaan negara ini, pada tahun 2007 beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Kayu Tradisional oleh Kraftangan Malaysia

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

  • Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Seksyen 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Kemaskini : 26/11/22 • Jumlah Pelawat : 21296560
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman