Adiguru Kraf Ukiran Halus

Encik Norhaiza bin Noordin

Nama
Encik Norhaiza bin Noordin
Bidang Kraf
Ukiran Halus
Adiguru
Adiguru Kraf Ukiran Halus
Negeri
Terengganu
Tarikh Lahir
20 Februari 1963
Lantikan Pertama
2011
KREATIVITI, INOVASI DAN PENCAPAIAN ADIGURU

Encik Norhaiza bin Noordin merupakan seorang pengukir kayu tradisional yang terkenal bukan sahaja di Negeri Terengganu malahan sehingga ke peringkat antarabangsa. Berdasarkan minat yang mendalam dalam bidang ukiran kayu beliau telah mempelajari dan mendalami bidang ini dengan berguru kepada seramai 6 orang pengukir kayu tersohor di Negeri Kelantan dan Terengganu iaitu Allahyarham Encik Wan Su (Tokoh Seni Negara), Allahyarham Tengku Ibrahim (Tokoh Kraf Negara), Encik Wan Mustafa, Allahyarham Rahman Long, Encik Latif Long dan Allahyarham Encik Nik Rashiddin.

Pada masa kini lenggok dan gaya ukiran beliau telah pun dikenali serta mempunyai identiti tersendiri. Hasil karya ukiran kayu yang dihasilkan beliau sering mendapat tempat di hati peminat ukiran daripada orang-orang kenamaan, pihak istana, jabatan dan agensi serta orang perseorangan untuk diabadikan di kediaman dan bangunan.



Justeru kehalusan dan ketelitian dalam setiap hasil ukirannya, tempahan yang diterimanya kini bukan hanya dari dalam negara malahan juga dari luar negara. Berikut merupakan di antara tempahan - tempahan ukiran yang pernah dihasilkannnya:
  1. Panel ukiran kayu ayat kursi Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya;
  2. Ukiran kayu peti ibadat Sultan Brunei;
  3. Hiasan ukiran kayu di Istana Hinggap Putrajaya;
  4. Hiasan ukiran kayu di kediaman Perdana Menteri di Putrajaya;
  5. Hiasan ukiran kayu di Dewan Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford;
  6. 15 unit ukiran hulu keris untuk Exco Kerajaan Negeri Terengganu;
  7. 2 bilah keris untuk Yang di-Pertuan Agong; dan
  8. Cokmar untuk Universiti Malaysia Kelantan;

Bagi memastikan perusahaan ukiran kayu yang diusahakan dapat bertahan dan berjalan dengan baik, beliau telah membahagikan pasarannya kepada 3 segmen dengan menubuhkan:
  1. Syarikat Seni Ukir Bakawali bagi menumpukan kepada ukiran yang mempunyai nilai seni serta kehalusan yang tinggi serta eksklusif.;
  2. Syarikat Bakawali House Of Arts bagi menumpukan kepada ukiran yang mempunyai permintaan yang tinggi, senang untuk dipasarkan dan mempunyai harga yang berpatutan; dan
  3. Syarikat Tunjang Bakawali Sdn Bhd bagi menumpukan kepada projek-projek ukiran berskala besar yang melibatkan tender/ sebutharga.;



Hasil daripada strategi penumpuan kepada segmen pasaran khusus ini, beliau telah berjaya mendapat tempahan ukiran dari dalam dan luar negara serta mampu bertahan sehingga ke hari ini. Karya-karya ukiran yang dihasilkan oleh Encik Norhaiza telah menjadi ikutan penggemar seni ukiran melayu pada masa kini. Pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi serta jabatan dan agensi sering berkunjung ke bengkel yang diusahakan oleh beliau sebagai rujukan dan kajian.

Pada masa kini seni ukiran kayu yang diusahakannya turut disokong dengan penggunaan mesin moden terutamanya kerja-kerja awalan seperti membelah, memotong dan membentuk kayu. Inovasi penggunaan peralatan ini dapat mempercepatkan proses ukiran kayu yang dihasilkan. Namun begitu, ukiran yang dihasilkan dengan bantuan penggunaan peralatan mesin moden, beliau masih mengutamakan kualiti dan kehalusan seni ukiran yang dihasilkan.

PENGIKTIRAFAN DAN PENCAPAIAN ADIGURU

Pengiktirafan yang paling membanggakan Encik Norhaiza di atas hasil karya beliau adalah apabila beliau diminta menghasilkan ukiran untuk hiasan dalaman Dewan Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford. Hasil karya ukiran kayu yang siap dihasilkan beliau di Universiti Oxford telah dilawati dan dilihat sendiri oleh Putera Charles dari Kerabat Diraja Britain.

Encik Norhaiza sentiasa komited dalam usaha mengembangkan perniagaan dan kemahiran yang dimilikinya. Ini telah dilakukan dengan penubuhan Syarikat Seni Ukir Bakawali, Syarikat Bakawali House Of Arts dan Tunjang Bakawali Sdn Bhd. Beliau telah menyediakan sebidang tanah untuk menempatkan bengkel untuk operasi penghasilan produk ukirannya. Sebuah bangunan yang disediakan untuk segala urusan pejabat turut digunakan sebagai galeria yang menempatkan contoh-contoh produk sampel ukiran yang dihasilkan. Terdapat seramai 18 orang yang bekerja dengan beliau sebagai pengukir dan 2 orang pekerja ditugaskan sebagai kerani yang menguruskan operasi bengkel.

Kerana ketokohan ilmu ukiran yang dimiliki Encik Norhaiza, beliau sering mendapat liputan dan perhatian sama ada daripada media elektronik mahu pun media cetak. Nama dan gambar beliau sering terpampang di dada-dada akhbar utama negara seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian serta tidak ketinggalan juga majalah-majalah semasa.



Melalui media elektronik pula beliau sering ditemuramah untuk tujuan dokumentari berkenaan ukiran kayu dan pengiklanan untuk tujuan promosi kraftangan. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia juga pernah menemuramah beliau untuk tujuan dokumentari dan penghasilan buku yang bertajuk “Ukiran Kayu Warisan Melayu” dan "Spirit Of Wood".

Encik Norhaiza sentiasa berusaha menambah ilmu bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam menghasilkan karya atau reka ciptanya. Berikut adalah antara beberapa seminar dan bengkel yang pernah dihadirinya untuk menambahkan ilmu pengetahuan:
  1.  Pada tahun 1999 beliau telah menjelajah ke Eropah selama dua minggu dan membuat kajian ke atas senjata-senjata melayu di London serta Amsterdam bersama Allahyarham Nik Rashidin & Datin Waveney Jenkins;
  2. Sekitar tahun 1999 hingga 2004, beliau juga telah menjelajah bersama Allahyarham Rashidin Nik Hussein ke beberapa lokasi di sekitar nusantara seperti Pattani, Kepulauan Riau, Kepulauan Bali, Sulawesi, Jawa dan Sumatera. Beliau ingin mengkaji sejarah seni ukiran Melayu awal termasuk pengaruh kerajaan luar terhadap seni ukiran Melayu serta perbezaan teknik–teknik dan gaya ukiran Melayu dengan ukiran negara-negara luar;
  3. Menghadiri bengkel ukiran kayu di MTIB pada tahun 2003;
  4. Menghadiri Seminar Mengekalkan Ukiran Kayu Tradisional Melay Kini dan Masa Depan di UITM pada tahun 2005.
  5. Menghadiri seminar motif ukiran kayu di Institut Kraf Negara pada tahun 2003.

SUMBANGAN KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

Encik Norhaiza tidak pernah jemu dalam mengembang serta memartabatkan industri kraf ukiran kayu yang dimilikinya. Sehingga kini 4 orang adik kepada Encik Norhaiza telah mengikut jejak langkah beliau dalam menceburi bidang ukiran kayu hasil tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikannya.

Agensi-agensi seperti Kraftangan Malaysia dan MTIB serta Institut Pengajian Tinggi sering menghantar pelajar dan pelatih ke bengkel beliau untuk menjalani latihan kemahiran mahu pun pelajar praktikal.



Tahun 2002
  1. Membentang kertas kerja ’Motif-motif Ukiran Kayu Tradisional’ di Institut Kraf Negara; dan
  2. Seminar Antarabangsa ’Siapa Mereka Apa Reka’ di Balai Seni Ukir Negara Kuala Lumpur.

Tahun 2003
  1. Seminar Motif Dalam Seni Ukir di Institut Kemahiran Negara;
  2. Bengkel Ukiran Kayu di MITB Kota Bharu; dan
  3. Mengendali sesi Demonstrasi Seni Ukir sempena Minggu Ukiran Kayu di MITB Kuala Lumpur.

Tahun 2004
  1. Membentang kertas kerja pada Konvensyen Inovasi Kraf Kebangsaan; dan
  2. Mengendali Bengkel Warisan Produk Kraf Kayu di Pusat Pembangunan Muar, Johor.

Tahun 2005
  1. Seminar Kongres Warisan Melayu di UITM; dan
  2. Seminar Antarabangsa ’The Spirit & Form Of Malay Design’ pada 27 hingga 29 Jun 2017 bertempat di Auditorium Jabatan Muzium & Antikuiti Kuala Lumpur.

Tahun 2006
Dilantik menjadi pakar rujuk oleh Kerajaan Malaysia dalam rekaan motif ukiran kayu tradisional di dalam hiasan dalaman Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS)



Tahun 2007
  1. Pembentangan Kertas Kerja ’Halatuju Seni Ukir Tradisional Dalam Era Globalisasi’
  2. Pameran Keris Warisan Melayu di SACC Mall Shah Alam
  3. Seminar Warisan Negeri Terengganu Anjuran UDM –Primula Beach Resort).

Encik Norhaiza sering mengikuti program yang dianjurkan oleh agensi-agensi terutama yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia bagi tujuan promosi di dalam dan juga luar negara.

Di peringkat antarabangsa, antara program promosi yang pernah beliau sertai adalah seperti:-
  1. Spirit Of Wood Exhibition at the Asian Civilization Museum di Singapura;
  2. Spirit Of Wood di Brunei Gallery, London;
  3. Autumn Trade fair I Dubai di UAE;
  4. Wood Carving Exhibition at the Cantalunya di Barcelona, Spain; dan v.   Exhibition and Sale at Ambiante di Frankfurt, Jerman.

Manakala di peringkat kebangsaan pula beliau giat menyertai pelbagai program promosi peringkat kebangsaan seperti:-
  1. NAM Exhibition 2003 di PWTC;
  2. Spirit Of Wood di Muzium Negara;
  3. Keris Warisan Melayu (Malay Keris Heritage) di SACC Mall, Shah Alam; dan
  4. Interior 2008 di PWTC.

Beliau turut memainkan peranan dalam menyertai program promosi peringkat negeri seperti Program Spirit Of Wood di Muzium Terengganu. Di atas kemahiran dan pengetahuan beliau dalam bidang ukiran halus, Encik Norhaiza sering menjadi pakar dalam rujukan yang melibatkan seni ukiran kayu.

Sumbangan beliau di peringkat nasional adalah seperti:
  1. Menjadi rujukan dalam penghasilan buku berjudul Ukiran Kayu Warisan Melayu yang dihasilkan oleh Kraftangan Malaysia;
  2. Menjadi jurucakap untuk sesi perbincangan ukiran sempena minggu ukiran kayu di MTIB pada tahun 2003;
  3. Membentangkan kertas kerja semasa Seminar Halatuju Seni Tradisional di Era Globalisasi pada tahun 2007; dan
  4. Dilantik menjadi pakar rujuk oleh Kerajaan Malaysia dalam rekaan motif ukiran kayu tradisional di dalam hiasan dalaman Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS).

Nilai falsafah dan identiti dalam memartabatkan kraf warisan Encik Norhaiza sentiasa berusaha untuk memartabatkan seni ukiran kayu agar ianya sentiasa segar dan dapat dihayati sepanjang zaman. Bagi beliau seni ukiran mempunyai nilai yang sangat tinggi dan tradisi ini harus dikembangkan daripada generasi ke generasi.

Pada tahun 2011, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Ukiran Halus bagi mengiktiraf sumbangan beliau dalam seni ukiran halus.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

  • Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Seksyen 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Kemaskini : 26/11/22 • Jumlah Pelawat : 21296546
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman