Adiguru Kraf Anyaman Rotan

Encik Ishak bin Kassim

Nama
Encik Ishak bin Kassim
Bidang Kraf
Anyaman Rotan
Adiguru
Adiguru Kraf Anyaman Rotan
Negeri
Melaka
Tarikh Lahir
6 Oktober 1959
Lantikan Pertama
2011
KREATIVITI, INOVASI DAN PENCAPAIAN ADIGURU

Encik Ishak Bin Kassim sering menggunakan dan menggubah reka bentuk sedia ada dan menambah rekacorak yang berunsurkan motif flora dan fauna, bentuk geometri, bentuk-bentuk bijirin dan kekacang serta bentuk bahagian kediaman seperti bumbung rumah dan sebagainya untuk disesuaikan dengan bentuk produk kraf mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan.

Reka corak yang digubah oleh Encik Ishak Kassim menggabungkan pelbagai motif tradisional dan geometri kontemporari khususnya tempahan Bakul Berkat serta pelbagai jenis bakul yang diterima pakai oleh permintaan pelanggan. Antaranya ialah bermotif "Pucuk Rebung", "Siku Keluang", "Mata Punai", "Tulang Belud", "Sisik Ikan" dan Teknik "Jalinan Satu", "Jalinan Dua", "Jalinan Tiga" dan Teknik "Kelarai". Manakala bentuk-bentuk yang digunakan ialah bentuk geometri iaitu Bulat, Bujur, Tiga Segi, Empat Segi, Heksagon, Oktagon serta bentuk "D" selain turut diaplikasikan bentuk Bijirin, Kekacang dan Nombor "8".



Encik Ishak Kassim turut meneroka penggunaan alatan moden dalam seni Kraf Anyaman Rotan. Ia bertujuan untuk meluaskan lagi pasaran tempatan dan luar negara. Penggunaan alatan ini dapat mempercepatkan proses pembuatan, namun kualiti dan kehalusan kraf anyaman rotan masih terus dikekalkan. Selain itu, beliau turut menggabungkan bahan lain seperti bahan kayu, logam, seramik , batik dan mengkuang. Kos pengeluaran juga dapat dikurangkan dan ia memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk memiliki barangan kraf rotan.

Beliau juga sering melibatkan diri dalam kursus dan bengkel yang dianjurkan oleh pihak FELDA, RISDA, FELCRA, MEDEC, BIKS, SIRIM, MECD, ITM, Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia dan khususunya pihak Kraftangan Malaysia.

PENGIKTIRAFAN DAN PENCAPAIAN ADIGURU

Bermula pada tahun 1980an beliau banyak menyumbangkan bakti mengembangkan kemahiran seni pembuatan kraf anyaman rotan melalui beberapa agensi dan pertubuhan dan turut membantu mempromosikan barangan kraf anyaman rotan dengan menyertai beberapa siri pameran serta demonstrasi di peringkat dalam dan luar negara.

Bermula tahun 1990, beliau sering menerima jemputan jualan, demonstrasi dan pameran dalam program promosi yang dianjurkan Kraftangan Malaysia. Beliau juga sering membangunkan produk contoh bagi Kraftangan Malaysia (1986 - 2011) selain menerima pelbagai tempahan produk VIP. Malahan beliau turut mendapat tempahan produk yang dikenali sebagai Bakul Berkat daripada Badan Amal Dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) untuk cenderamata sekitar tahun 2006.



Hasil kerja tangan beliau telah mendapat perhatian dari Kerajaan Malaysia, apabila produk Bakul Berkat karya beliau telah dipamerkan sempena Promosi Kraf Malaysia di Gedung Membeli Belah Harrods, London pada tahun 2009.

Beliau telah menerima Anugerah Naib Johan dalam pertandingan bidang Kraf Rotan anjuran UNESCO (Asia Pasifik) yang berlansung di Kuala Lumpur pada 15 hingga 21 Mac 2003. Produk yang dihasilkan oleh beliau bagi pertandingan tersebut adalah Bakul Berkat Tiga Tingkat menggunakan Teknik Anyaman Ribu-Ribu. Sekitar tahun 2007, Encik Ishak bin Kassim juga telah berjaya memenangi pertandingan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi.



Kraftangan Malaysia juga telah menerbitkan dokumentari bertajuk 'Anyaman Kraf Rotan' yang diterbitkan pada tahun 2005. Dokumentari ini bertujuan bagi mendokumentasikan kehalusan seni anyaman rotan yang diwarisinya dan berkongsi pengalaman beliau sepanjang menceburi bidang seni kraf ini.

SUMBANGAN KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

Encik Ishak Kassim tidak pernah mengenal erti jemu untuk menurunkan kemahiran Anyaman Rotan kepada golongan muda yang berminat untuk mempelajari kemahiran ini. Beliau berharap dapat mewariskan ilmu dan kemahiran beliau untuk diteruskan oleh generasi baru.



Beliau turut menerima pelatih-pelatih Sijil dan Diploma dari Institut Kraf Negara (IKN) untuk program praktikal dan latihan Industri bermula sekitar tahun 2004 sehingga kini. Selain itu beliau turut menerima pelatih dari MARA dan Politeknik untuk program praktikal. Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka juga menggunakan khidmat beliau sebagai jurudemo promosi bergerak dan tenaga pengajar anyaman kraf rotan bagi peserta Latihan Jangka Pendek pada tahun 2011.

Faktor pendorong kepada beliau supaya meneruskan seni pertukangan kraf tradisional ini ialah:
  1. Mempertahankan seni tradisional pertukangan kraf anyaman rotan supaya terus berkembang dan dikenali ramai;
  2. Memartabatkan seni kemahiran masyarakat melayu;
  3. Mahu mendidik golongan muda dalam menghasilkan produk anyaman yang berkualiti tinggi; dan
  4. Menyalurkan kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki untuk generasi baru supaya dapat mengekalkan seni anyaman kraf rotan agar dijadikan khazanah negara yang berguna.



Pada tahun 2011, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Anyaman Rotan bagi menghargai sumbangannya dalam seni kemahiran ini.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

  • Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Seksyen 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Kemaskini : 06/12/22 • Jumlah Pelawat : 21290945
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman