Adiguru Kraf Tenunan Dastar

Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah

Nama
Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah
Bidang Kraf
Tenunan Dastar
Adiguru
Adiguru Kraf Tenunan Dastar
Negeri
Sabah
Tarikh Lahir
11 Mei 1933 - 18 Ogos 2010
Lantikan Pertama
1987
Lantikan Semula
2006
PENGLIBATAN AWAL

Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah merupakan anak jati berketurunan Irranun yang menetap di Kampung Merabau bersama keluarga. Memiliki kemahiran menenun yang diwarisi daripada ibu dan kakaknya yang memang merupakan penenun terkenal pada waktu itu.



Antara kain tenunan tradisional Sabah yang dihasilkan oleh Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah adalah kain Dastar. Kain Tenun Dastar merupakan pakaian kebesaran suku kaum Bajau yang dijadikan sebagai tengkolok atau perhiasan pada pakaian tradisional mereka yang dipakai dalam upacara adat, keagamaan, majlis rasmi, perayaan dan perkahwinan.

Beliau mengusahakan tenunan di bengkel yang terletak berhampiran dengan tempat kediamannya. Selain daripada benang kapas, beliau turut menggunakan benang nenas yang diproses sendiri dan kemudian diwarna menggunakan warna yang juga dari bahan semula jadi. Beliau mengajar tenunan kepada generasi muda dari masyarakat setempat. Ini adalah di antara usaha murni beliau dalam mengembangkan seni Tenunan Dastar.



DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Pada peringkat awal penglibatan Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah dalam bidang tenunan, beliau banyak menggunakan bahan semulajadi yang diproses sendiri iaitu penggunaan benang daripada serat nenas. Beliau turut menyediakan bahan pewarna dari sumber alam untuk mewarna benang yang akan ditenun.

Beliau juga menghasilkan reka corak dari motif binatang (ayam dan kuda) yang biasanya menjadi kebanggaan suku kaum Bajau. Selain itu, beliau turut memasukkan motif geometri di dalam tenunannya.



Oleh kerana permintaan terhadap kain dastar semakin meluas, Puan Ramiah telah mempelbagaikan reka corak agar ianya boleh dijadikan produk lain seperti alas meja, kusyen dan hiasan dinding. Kreativiti beliau mendapat perhatian daripada jabatan kerajaan, swasta dan orang perseorangan.



Beliau juga berkemahiran menenun kain Mugah, Baraguru, Ampik, Tapak Sila dan kain Sambitan. Selain daripada menenun beliau juga mempunyai kemahiran membuat tudung saji dari daun serdang dan menganyam tikar pandan.

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Allahyarhamah Hajah Ramiah binti Abdullah telah banyak mencurahkan ilmu tenunan asli Sabah kepada generasi muda di sekitar Kota Belud dan melatih anggota kerja Kraftangan Malaysia. Beliau menjadi jurutunjuk kepada kumpulan pelatih di bawah Skim Perantisan Kraf Warisan anjuran Kraftangan Malaysia. Di samping itu, beliau turut menyertai promosi, pameran dan demonstrasi tenunan yang diadakan di sekitar Kota Belud dan Kota Kinabalu.



Pada tahun 1986, Kraftangan Malaysia melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenunan Dastar bagi menghargai kemahiran seni yang beliau miliki. Namun pada tanggal 18 Ogos 2010, beliau yang telah kembali ke Rahmatullah. Segala jasa dan bakti beliau dalam memartabatkan tenunan asli Sabah amat disanjungi. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan golongan orang yang beriman.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

  • Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Seksyen 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Kemaskini : 26/11/22 • Jumlah Pelawat : 21296564
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman