Adiguru Kraf Perak

Allahyarham Tuan Haji Ibrahim Bin Haji Ismail

Nama
Allahyarham Tuan Haji Ibrahim Bin Haji Ismail
Bidang Kraf
Logam (Pertukangan Perak)
Adiguru
Adiguru Kraf Perak
Negeri
Kelantan
Tarikh Lahir
28 September 1924 - 2018
Lantikan Pertama
1987
LATAR BELAKANG PERTUKANGAN PERAK DI KELANTAN

Seni pertukangan perak adalah satu daripada cabang kesenian orang-orang Melayu yang amat terkenal di negeri Kelantan. kemahiran pertukangan logam oleh orang-orang Melayu dipercayai telah wujud sejak zaman-berzaman, hasil pengaruh tamadun Hindu dan Islam yang memang terkenal dengan pertukangan barangan logam seperti emas dan tembaga.

Barangan perak yang dihasilkan terbahagi kepada 3 jenis iaitu:
a) Barang-barang kasar (serbaguna) - barang-barang dapur seperti pinggan mangkuk, teko dan sebagainya.
b) Barang-barang filigree seperti aksesori wanita dan cenderahati
c) Barang-barang perhiasan ikatan permata

Bagi masyarakat yang telah mengenali seni pertukangan perak filligree mempunyai keindahannya yang tersendiri. keindahan yang dinaksudkan ini bukan sekadar kehalusan ragam hiasan pada sesuatu hasil karya itu, malahan juga pada penciptaan satu-satu motif yang terselindung di sebaliknya mengikut daya imaginasi jiwa pencipta itu sendiri.

Kebanyakan barangan filligree memaparkan peralatan perhiasan diri yang menjadi kegemaran kaum wanita. Berbagai motif bunga-bungaan terdapat di dalam pertukangan perak filligree seperti bunga matahari, bunga cempaka, bunga orkid, bunga mawar dan lain-lain motif moden dalam rekacorak pertukangan filigree.

Rekaan motif pada barangan perak filligree bukan sekadar hiasan sahaja tetapi juga adalah manifestasi falsafah budaya Melayu melalui hasil cipta yang penuh simbolik.

KEPIMPINAN DAN KETOKOHAN

Seni pertukangan perak di antara cabang kesenian warisan yang amat terkenal di Kelantan. Pertukangan perak dikatakan berkembang di Kampung Sirih yang terletak berhampiran dengan Kota Bharu. Di sini munculnya ramai tukang perak yang hebat dan di antara mereka ialah Haji Ibrahim Ismail. Dilahirkan pada tahun 1924 di Kampung Sirih, Kota Baru Kelantan, beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Majlis Agama Islam dan kemudian melanjutkan pelajaran ke sekolah Menengah Kota Bharu dan pada tahun 1939 beliau memulakan tugas sebagai guru.



Minat terhadap seni pertukangan perak dipupuk sejak di alam persekolahan lagi. Bapa saudaranya, Haji Abdul Rahman banyak membimbing dan memberi galakan kepada beliau mengenai selok belok pertukangan perak. Penglibatan beliau dalam bidang kemahiran perak bermula usia seawal 12 tahun lagi. Ketika itu hanya ingin mencuba sahaja, tetapi lama kelamaan minat terhadap kemahiran barangan perak mula timbul. Sewaktu berusia 19 tahun beliau bekerja sebagai seorang guru dan pada masa yang sama juga beliau membuat barangan perak secara sambilan.



Selepas menjadi guru beliau masih lagi mencari waktu untuk meneruskan kegiatan bertukang. Tahun 1948 beliau mengambil keputusan berhenti daripada menjadi guru dan menceburi bidang pertukangan perak sepenuh masa. Beliau juga merupakan antara tukang perak yang menggerakkan semula Kelantan Malay Arts and Crafts (KMAAC).

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Pada peringkat awal penglibatannya, Haji Ismail gemar membuat barang-barang mudah dan kecil seperti kerongsang, subang, gelang, sudu, garpu, pisau dan senduk. Ini merupakan titik permulaan penglibatan beliau dalam seni pertukangan perak. Beliau kemudian diberi kepercayaan menyediakan cokmar untuk Dewan Negara, Dewan Rakyat, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Di samping itu beliau menerima tempahan dari kerajaan negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau Pinang bagi menyediakan pingat kebesaran.



Untuk membuat satu cokmar ia mengambil masa selama 6 bulan. Hanya orang yang memiliki kepandaian yang tinggi terhadap kemahiran perak sahaja yang mampu membuatnya. Setiap cokmar berukuran sepanjang 5 kaki lebih. Cokmar yang asalnya merupakan alat senjata diubah bentuknya menjadi sebuah alat lambang kebesaran dan kuasa. Selain itu, Tuan Haji Ibrahim juga membuat produk perak yang lain. Setiap hasil kerjatangan beliau yang dihiasi dengan motif-motif tradisional seperti Awan Larat, Bunga Tanjung, Sulur Kacang dan bermacam-macam lagi mengandungi pelbagai maksud yang tersirat.



Ramai tukang-tukang perak yang turut menempa nama dalam bidang pertukangan perak pernah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada beliau. Beliau juga bergiat cergas dalam bidang politik dan pernah dilantik menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Hulu Kelantan pada tahun 1964 hingga 1968. Beliau juga menerima Anugerah Pingat Seri Mahkota Kelantan (1968) dan Anugerah Pingat Ahli Mangku Negara (1967). Bagi menghargai sumbangan Haji Ibrahim Ismail terhadap perusahaan pertukangan perak negara, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Perak pada tahun 1987.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

  • Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Seksyen 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Kemaskini : 06/12/22 • Jumlah Pelawat : 21290962
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman