Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga

Puan Hawa binti Ngah Salam

Nama
Puan Hawa binti Ngah Salam
Bidang Kraf
Hasil Tanah
Adiguru
Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga
Negeri
Perak
Tarikh Lahir
5 Mei 1934
Lantikan Pertama
1996
Lantikan Semula
2006
There is no translation available.

LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

"Sejarah silam labu sayong serba sedikit cuba menyingkap teknologi pembuatan tangan masyarakat Melayu. Menurut cerita penduduk-penduduk Kampung Kepala Bendang, Kuala Kangsar, Perak merupakan asal-usul seramik tanah air bermula dari pedagang-pedagang India dan China yang melewati perkampungan Perak awal abad ke-15. Pedagang ini menyusuri sungai Perak dan membuka era perkembangan labu sayong."


Demikianlah ungkapan awal yang diutarakan oleh Puan Hawa binti Ngah Salam seorang pencipta warisan seni dan pakar dalam pembuatan labu sayong. Mula melibatkan diri dalam pembuatan labu sayong sejak berusia 15 tahun lagi.



Puan Hawa binti Ngah Salam dilahirkan pada 5hb Mei 1934 merupakan antara tokoh yang mahir dalam pembuatan labu sayong secara tradisional dan juga moden. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak sehingga darjah 3. Beliau juga mendapat pendidikan informal dari ayah dan ibu secara teratur dan didikan yang diterima mengajar beliau menjadi seorang wanita yang berdisiplin dan bertekad untuk maju. Pendidikan ini juga menjadikan diri beliau sentiasa berusaha memajukan diri dan belajar mencintai kraf warisan labu sayong.

Puan Hawa berasa bertuah mempunyai seorang ibu yang mempunyai kemahiran dalam pembuatan labu sayong. Warisan yang Puan Hawa terima merupakan warisan 6 keturunan. Puan Hawa bertekad biarlah warisan seni kebangsaan negeri Perak ini kekal diwarisi oleh salasiah keturunan beliau.

Cintanya kepada dunia seni kraf seramik mendorongnya untuk sentiasa berfikir memperbaiki dan mempelbagaikan mutu produknya mengikut arus sezaman. Beliau bukan sahaja mahir dalam pembuatan tradisional tetapi juga cekap dalam penggunaan teknik moden sehingga berupaya menghasilkan 7 hingga 10 buah biji labu dalam sehari.




DAYA KREATIVITI DAN INOVASI


Puan Hajah Hawa mempunyai daya kreativiti yang tinggi dalam setiap aspek seni kraf seramik bermula dari bahan, pemprosesan hingga ke bentuk produk. Jari-jemarinya yang halus berseni dalam membentuk labu telah menghasilkan produk yang begitu menarik, cantik dan kemas ditambah lagi dengan kombinasi antara teknik moden dengan tradisional.

Beliau satu-satunya pembuat tembikar yang mengasaskan teknik bunga tampal dalam hiasan tembikar. Beliau turut mengambil kira citarasa pengguna yang mulai berubah, Puan Hajah Hawa telah menghasilkan labu sayong sebagai barangan perhiasan yang diserikan dengan gabungan motif asal bersama hiasan bunga yang direka sendiri bagi meningkatkan mutu produk kraf.



Beliau turut mengamalkan beberapa petua lama misalnya semasa menggali tanah, beliau akan memastikan ianya betul-betul baik dan berkualiti. Bukan sahaja mahir dalam pembuatan labu sayong tetapi beliau juga menghasilkan labu gelugor, pasu bunga, labu puchong dan pelbagai barang hiasan seramik. Hasil kerja tangan beliau telah mendapat tempat di kalangan pencinta seni, agensi-agensi kerajaan mahupun swasta.


PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Dikenali sebagai seorang yang aktif, kreatif dan berdisiplin dalam menghasilkan kerja seni kraftangan maka tidak hairan jika hasil produknya mendapfat perhatian dari orang ramai dan juga pihak akhbar yang sentiasa ingin menulis rencana mengenainya.



Puan Hajah Hawa dianggap sebagai Tokoh Kraf Seramik di Persada Seni bagi mereka yang menghargai dan menilai seni dan jasa beliau. Berikut adalah pencapaian beliau selama penglibatannya dalam bidang seni kraf seramik :
  1. Dilantik sebagai Adiguru Kraf Seramik oleh Kraftangan Malaysia (1996)
  2. Penghargaan WICITRA (1984)
  3. AJK Keselamatan dan Kemajuan Kampung Gajah, Perak
  4. Pameran anjuran Universiti Malaya, Muzium Negara, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.
  5. Produk beliau turut di pamerkan di Koleksi tetap di Muzium Negara, Muzium Taiping, Muzium Negeri Kedah dan beberapa hotel terkemuka tanahair.
  6. Rencana Akhbar : 1987 - “Hawa Mewarisi Kesenian Enam Keturunan” Berita Harian.
  7. Rencana Akhbar : 1973 - “A Display Of Malay Handicraft” The Star.
  8. Rencana Akhbar : 1977 - “Dari Jari-jari Yang Lembut Terciptalah Labu Tanah Yang Bagus” (sebuah akhbar yang tidak dinyatakan)
  9. Rencana Akhbar : 1976 - “Feats At Clay” The Malay Mail.

SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

Selain menghasilkan dan memasarkan barangan kraf, beliau juga telah mengikuti program-program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan atau swasta sebagai salah satu usahanya untuk memperkenalkan produk-produk barangan kraf tempatan pada masyarakat setempat dan luar.

Kemahiran dan kreativitinya dalam menghasilkan barangan yang berkualiti dan mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi ini mendapat liputan daripada media tempatan. Kerjasama beliau yang sentiasa diberikan kepada pihak kerajaan atau swasta dalam pelbagai perkara merupakan satu pengorbanan yang tidak ternilai.

Beliau turut mengadakan demonstrasi pembuatan labu Pulau Tiga serta turut menyertai pameran pelancongan anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan Kraftangan Malaysia. Semangat beliau yang sentiasa aktif dan peka pada perkembangan industri kraf seramik dapat dijadikan contoh dan inspirasi kepada pelapis muda untuk menceburi bidang ini.

Pada tahun 1984, beliau menerima anugerah penghargaan WICITRA anjuran Kraftangan Malaysia. Segala jasa dan usaha murninya diberi pengiktirafan oleh Kraftangan Malaysia dengan melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga pada tahun 1996.

Malaysian Handicraft Development Corporation

  • Kuala Lumpur Craft Complex, Section 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Copyright Reserved © 2021 Malaysian Handicraft Development Corporation. Updated : 26/11/22 • Total Visitor : 21296565
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map