Adiguru Kraf Songket dan Tokoh Kraf Negara

Puan Hajah Habibah binti Zikri

Nama
Puan Hajah Habibah binti Zikri
Bidang Kraf
Songket
Adiguru
Adiguru Kraf Songket dan Tokoh Kraf Negara
Tokoh Kraf
Tokoh Kraf Negara
Negeri
Terengganu
Tarikh Lahir
5 Februari 1948
Lantikan Pertama
2007
Tahun Lantikan Tokoh Kraf Negara
2007
There is no translation available.

LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Hajah Habibah Zikri satu nama besar yang turut mewarnai indusri songket negara. Lahir pada 5 Februari 1948 di Sungai Petani, Kedah Darul Aman di tengah-tengah keluarga yang besar. Anak ketiga daripada sembilan adik beradik yang terdiri daripada dua orang lelaki dan tujuh orang perempuan ini amat meminati seni. Jiwa seni Hajah Habibah diwarisi daripada bapanya yang gemar mengumpul koleksi-koleksi barangan kraf. Sejak zaman kanak-kanak lagi Hajah Habibah gemar melakar, melukis dan melihat kepada keindahan.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Sungai Petani. Selepas tamat sekolah menengah, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni. Semasa menuntut di Institut Teknologi MARA, Hajah Habibah di antara pelajar cemerlang. Beliau sentiasa mencari kelainan dan memberi nilai tambah pada setiap karya yang dihasilkan kerana mencipta sesuatu yang cantik merupakan kepuasan kepada beliau. Di akhir pengajian beliau menerima anugerah pelajar cemerlang dalam bidang tekstil.

Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1974, beliau ditawarkan bekerja di Kraftangan Malaysia sebagai pereka dan diberi tanggungjawab menghasilkan rekaan baru kraf tekstil tempatan. Semasa berkhidmat di Kraftangan Malaysia beliau terus mendalami bidang tenunan khususnya songket. Sebagai pereka, beliau sering bertemu dengan penenun-penenun songket dan mendalami proses dan kerja-kerja menyongket dari awal sehingga akhir.

Rumah tangga yang dibina bersama Encik Shamsul Baharin Abdul Mutalib dikurniakan dengan tiga orang cahayamata. Minat dan cita-cita dikongsi bersama suami dan keluarga. Setelah sembilan tahun berkhidmat sebagai pereka, beliau meletakkan jawatan dan memulakan perusahaan tenunan songketnya sendiri berbekalkan cita-cita dan sokongan daripada keluarga. Berbekalkan bakat serta kemahiran sebagai pereka, Puan Habibah memulakan kerjaya sebagai pengusaha songket.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Hajah Habibah yang meminati seni tampak sejak kecil lagi menyimpan cita-cita untuk melakukan transformasi dalam industri songket negara. Kain songket yang menjadi warisan agung diberi nafas baru agar mampu dimiliki dan diterima pakai semula oleh semua lapisan masyarakat. Beliau penuh yakin bahawa kain songket yang terhad fungsi serta kegunaannya ini boleh dikomersilkan.

Songket merupakan satu-satunya tekstil lama Melayu yang mampu bertahan hingga hari ini. Keunikan dan keseniannya terserlah. Songket Malaysia buatan tangan terbukti bermutu tinggi nilainya. Hakikat inilah Puan Hajah Habibah binti Haji Zikri menumpukan perhatian terhadap perusahaan songket. Perusahaan songket Puan Hajah Habibah bermutu tinggi dan bertaraf dunia. Keunikan reka corak dan kreativiti rekaan beliau menjadikan songket beliau bermutu dan tinggi nilai harganya.

Penglibatan beliau inilah menjadikan beliau seorang tokoh yang meraih kejayaan demi kejayaan. Kejayaan pertama Puan Hajah Habibah adalah menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan membuka bengkel tenunan. Bengkel yang dibuka di sebelah rumah mampu menghasilkan kain songket yang bermutu dan memenuhi keperluan pelanggan.

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Bibah Songket merupakan mercu tanda kejayaan Puan Habibah. Kini seramai 50 orang penenun songket bernaung di bawahnya, membantu beliau menghasilkan songket yang yang halus, cantik dan berkualiti. Songket rekaan beliau turut dijadikan sebagai setem pos kenang-kenangan sempena pelancaran Songket Seni Warisan Agong bersama-sama TV3 dan Pos Malaysia pada tahun 2004.

Setelah lebih daripada 33 tahun menceburi bidang Tenunan songket, Puan Hajah Habibah telah meletakkan namanya sebagai penenun yang terkenal dan disegani di negara ini. Hasil ciptaan kreatif beliau telah menyemarakkan semula industri songket negara. Banyak kejayaan yang diraih beliau sepanjang tempoh mengusahakan tenunan songket.

Pada tahun 1983, beliau telah menyertai pertandingan Witcitra anjuran PKKM dan pada tahun 1984 beliau menerima reka bentuk terbaik. Pada tahun 1987 beliau menerima Anugerah - The Best Traditional Textile ASEAN di Jakarta. Beliau turut menerima Anugerah Seni Tampak pada tahun 2002.

SUMBANGAN TERHADAP INDUSTRI KRAF

Puan Hajah Habibah turut melatih penenun muda di bengkelnya. Kebanyakan mereka terdiri daripada remaja lepasan sekolah menengah yang tidak mempunyai asas menenun. Kumpulan ini diberikan latihan dan bimbingan sehingga mereka menjadi penenun yang mahir. Karya kreatif beliau turut dijadikan sebagai hiasan eksklusif Istana Negara, Istana Johor, pejabat-pejabat kedutaan di luar negara, bangunan UMNO Kuala Lumpur, hotel-hotel dan resort di seluruh negara. Sumbangan Hajah Habibah sepanjang penglibatannya telah mengangkat dan meletakkan songket warisan bangsa ke tempat yang sewajarnya.

Bagi menghargai usaha dan kegigihan beliau dalam bidang songket ini pada tahun 2007 beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Songket dan dinobatkan selaku Tokoh Kraf Negara pada tahun yang sama oleh Kraftangan Malaysia.

Malaysian Handicraft Development Corporation

  • Kuala Lumpur Craft Complex, Section 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Copyright Reserved © 2021 Malaysian Handicraft Development Corporation. Updated : 26/11/22 • Total Visitor : 21296530
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map