Adiguru Kraf Wau Tradisional

Encik Shafie bin Jusoh

Nama
Encik Shafie bin Jusoh
Bidang Kraf
Aneka Kraf
Adiguru
Adiguru Kraf Wau Tradisional
Negeri
Kelantan
Tarikh Lahir
6 September 1947
Lantikan Pertama
2006
There is no translation available.

LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Encik Shafie bin Jusoh mula meminati bidang Kraf Wau sejak berada di sekolah rendah lagi. Ketika berusia 10 tahun, beliau sering mengikut rakan-rakannya bermain wau di bendang sehingga sanggup berhenti sekolah ketika berada di tahun tiga.

Demi minat, beliau belajar membuat wau dari rakan-rakan dan cara-cara sobekan melalui pemerhatian sendiri. Encik Shafie amat berbangga kerana minatnya tersebut mendapat dorongan daripada ibu bapanya dan sebagai tanda sokongan ayahnya telah memainkan wau besar yang telah dihadiahkannya. Dengan jualan secara kecil-kecilan, wau yang dihasilkan serba sedikit dapat membantu ekonomi keluarganya.



Ketika awal penglibatannya, belum ada lagi anak Kota Bharu yang mengusahakan pembuatan wau secara serius. Pada masa itu beliau hanya bertanding sambil bermain wau di Stadium Kota Bharu serta Kompleks KB. Bakat tokoh mula menyerlah ketika beliau berusia 22 tahun dengan kedatangan dua orang pelancong luar negara yang menyaksikan bakatnya memainkan wau di stadium. Berminat dengan keunikan permainan tersebut, kedua-dua pelancong tersebut menempah wau dari beliau.

Semenjak dari itu, beliau mula yakin dengan produknya serta menerima tempahan wau naik untuk dijual. Encik Shafie mula menerima tempahan secara eksklusif dari syarikat-syarikat besar serta jabatan kerajaan ketika berusia 30 tahun.



DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Salah satu keunikan wau bulan yang dihasilkan oleh beliau ialah badan wau yang dihasilkan berbentuk bulat dan seimbang antara kiri dan kanan yang direka berkonsepkan wau pada permukaan syiling 50 sen.



Beliau juga tidak pernah meniru corak-corak wau daripada ciptaan orang lain walaupun atas permintaan pelanggan. Sekiranya diminta menghasilkan wau berdasarkan gambar yang diberi untuk tempahan, tokoh pasti mereka cipta corak lain berdasarkan konsep yang diberi. Ini adalah kerana tokoh amat menghormati rekacipta orang lain dan ingin menghasilkan rekaan identitinya sendiri.

Secara keseluruhannya, terdapat empat jenis wau tradisional yang mampu di hasilkan oleh beliau iaitu wau bulan, wau merak, wau puyuh dan wau barat. Dari segi corak atau sobekan, terdapat pelbagai jenis corak tradisional yang terdapat pada wau iaitu "Awan Larat", "Lada Hitam", "Ketam Guri", "Daun Kacang", "Daun Jarak", "Daun Kangkung" dan "Daun Jawa". Namun begitu, belau juga turut merekacipta corak-corak baru mengikut citarasa pelanggan.

Menurutnya, kesemua jenis wau tersebut boleh mengeluarkan bunyi kecuali Wau Barat. Bunyi-bunyi ini terhasil dari alunan angin yang meniup busur apabila wau terbang tinggi di atas langit. Bunyi ini berbeza-beza mengikut kenipisan busur san kelajuan angin dan ia bergantung kepada kemahiran peneraju wau semasa memainkannya. Wau Merak yang merupakan warisan negeri Johor boleh mengeluarkan tujuh jenis bunyi manakala Wau Bulan yang merupakan kebanggaan negeri Kelantan pula boleh menghasilkan tiga jenis bunyi.

PENGIKTIRAFAN

Apa yang paling menarik, keunikan wau yang telah dihasilkan oleh Encik Shafie telah membawa beliau kepada pelantikan sebagai duta MAS. Pihak MAS sering menjembut beliau untuk membuat demonstrasi di luar negara seperti Australia, German, Maldives, Melbourne dan Jepun. Sehingga kini, pencapaian tokoh telah mendapat liputan daripada penerbitan majalah, akhbar serta agensi-agensi media massa.



Satu keistimewaan yang ada pada tokoh ialah beliau amat merendah diri meskipun namanya masyhur di kalangan penggiat seni wau. Beliau juga tidak pernah menetapkan sebarang kadar bayaran terhadap pihak media yang ingin membuat liputan tentang dirinya, perusahaan ataupun produknya.

Produk-produk wau yang di hasilkan oleh beliau sering dibeli oleh hotel-hotel, jabatan kerajaan, muzium serta syarikat swasta terutamanya selepas wau berkenaan digunakan dalam sesuatu pertandingan. Beliau sangat mahir membuat wau perhiasan dan wau naik untuk pertandingan. Sehingga kini beliau telah banyak memenangi pertandingan wau di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa.



Antara pertandingan yang pernah disertainya ialah pertandingan wau peringkat antarabangsa ialah Pasir Gudang Kite Festival International Guests anjuran Lembaga Pelabuhan Pasir Gudang dan peringkat negeri seperti Johan Wau Cantik dan Johan Wau Naik peringkat negeri Johor serta pertandingan-pertandingan anjuran Majlis Pelancongan Negeri Kelantan.



Selain pertandingan, beliau juga ada menerima jemputan untuk membuat demonstrasi oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan aktiviti kebudayaan anjuran kerajaan negeri. Beliau juga kerap dijemput untuk mengadakan demonstrasi pembuatan wau dan sesi interaktif bersama pengunjung bagi pihak Kraftangan Malaysia. Pada tahun 2006, beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Wau Tradisional oleh Kraftangan Malaysia.

Malaysian Handicraft Development Corporation

  • Kuala Lumpur Craft Complex, Section 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Copyright Reserved © 2021 Malaysian Handicraft Development Corporation. Updated : 26/11/22 • Total Visitor : 21296551
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map