Adiguru Kraf Rebana Ubi

Encik Mat Yaacob bin Awang Besar

Nama
Encik Mat Yaacob bin Awang Besar
Bidang Kraf
Rebana Ubi
Adiguru
Adiguru Kraf Rebana Ubi
Negeri
Kelantan
Tarikh Lahir
19 Oktober 1942
Lantikan Pertama
2006
There is no translation available.

LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Encik Mat Yaacob bin Awang Besar mula menceburi bidang kraf sejak kecil dengan mengikuti bapa dan juga bapa saudaranya yang aktif membuat dan memainkan rebana ubi. Generasi daripada datuk moyang beliau dan identiti Kampung Baru Pupuk sememangnya telah termasyhur dengan seni permainan kraf Rebana Ubi sejak dahulu lagi. Beliau telah mula bermain rebana ubi seawal usia 12 tahun iaitu sejak tahun 1955. Selain daripada mengusahakan pembuatan rebana ubi, beliau juga bekerja sebagai pesawah dan penoreh getah.



Seni kraf Rebana ubi yang dihasilkan oleh Mat Yaacob tersohor di serata negeri kerana ketinggian kemahiran beliau dalam proses mengikat kulit kerbau yang telah dikeringkan dan diregangkan pada badan rebana. Proses paling rumit ini dinamakan proses ’mengambil’. Kelebihan inilah yang membuatkan tempahan yang diterima beliau bukan sahaja dari masyarakat luar malahan daripada pengusaha rebana ubi yang lain kerana mutu kemahirannya sukar ditandingi dan hasil kerja yang amat berkualiti.



Beliau juga menghasilkan rebana ubi dengan lukisan bermotifkan alam pada permukaan kulit kerbau. Kebiasaannya menerima tempahan pada musim perayaan dan majlis rasmi seperti pertabalan sultan serta perasmian sesuatu majlis rasmi. Rebana ubi jarang ditempah kerana reka bentuknya yang tahan lama dan sukar untuk rosak. Oleh yang demikian, Encik Mat Yaacob amat jarang sekali menerima tempahan selain pembaikan rebana ubi yang telah lama.

KEUNIKAN HASIL SENI KRAF ADIGURU

Rebana ubi yang dihasilkan tokoh masyhur di serata negeri kerana kemahiran beliau dalam proses mengikat kulit kerbau yang telah kering serta diregangkan pada badan rebana. Proses yang paling rumit ini dinamakan proses ’mengambil’. Kelebihan inilah yang membuatkan beliau menerima tempahan bukan sahaja dari luar malahan dari pengusaha rebana ubi yang lain kerana kemahirannya dalam proses ini sukar ditandingi dan amat berkualiti.



Proses pembuatan rebana ubi pada masa dahulu adalah lebih rumit berbanding zaman kini kerana penggunaan peralatan-peralatan tangan tradisional. Pepohon kayu yang besar sukar dipotong kerana hanya menggunakan peralatan gergaji buaya dan ditebuk menggunakan kapak. Namun kini, semua proses tersebut menjadi lebih mudah dengan mengguanakan mesin tanpa menjejaskan mutu kayu dan kualiti bunyi rebana ubi. Namun begitu penggunaan motif asal pada rebana ubi masih dikekalkan dengan dihiasi dengan lukisan bermotif alam pada permukaan kulit kerbau.

Bahan-bahan yang diperlukan dalam pembuatan rebana ubi adalah seperti kayu merbau/tapang/mubor/laban, kulit kerbau, cat, rotan, tali tangsi besar dan juga tali nylon. Menurut beliau, tiada sebarang pantang larang dalam pembuatan rebana ubi. Namun begitu bahan-bahan mentah seperti rotan, kulit kerbau serta kayu yang bersaiz besar agak sukar didapati dan turut dipengaruhi oleh faktor harga yang meningkat.



Kebiasaannya, tempahan sebuah rebana dijual dengan harga sekitar RM 2,000 hingga RM 3,000 sebuah bergantung kepada masa dan bahan mentah. Para pelanggan yang menyediakan bahan mentah sendiri biasanya akan dikenakan RM 400 sebagai bayaran upah bagi proses menyiapkan rebana ubi berkenaan.

SUMBANGAN ADIGURU KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

Bagi memastikan kesinambungan kemahiran ini, beliau gigih mewariskan ilmu kemahiran ini kepada penduduk setempat yang berminat termasuk di dalam skim latihan yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia. Namun begitu, minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh generasi muda ini tidak cukup memberansangkan dan tidak konsisten dari segi kehadiran.



Anak-anak beliau seramai empat orang juga tidak berminat untuk menjadi generasi pelapis dalam kemahiran pembuatan dan permainan rebana ubi. Namun begitu, sehingga kini hanya ada salah seorang anak muridnya iaitu Encik Shafawi bin Tahir telah mampu menguasai kemahiran. Beliau yang telah mencecah umur 50an lebih mesra dengan panggilan Pak Wi merupakan anak jati Kampung Baru Pupuk, menjadi harapan kepada Encik Mat Yaacob untuk menjadi penyambung warisan seni kraf Rebana Ubi ini.



Beliau sering menerima jemputan demonstrasi dan pertandingan di seluruh Malaysia. Antara persembahan demonstrasi yang pernah disertai beliau adalah seperti Hari Kraf Kebangsaan (2002 & 2010), Persembahan Kebudayaan di Dataran Merdeka (2002) dan Persembahan Kebudayaan di Putrajaya (2005). Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Rebana Peringkat Negeri. Selain itu, kemahiran beliau juga pernah mendapat liputan pelbagai media elektronik dan cetak.



Sebuah bengkel telah didirikan di sebelah rumah beliau dengan bantuan daripada Kraftangan Malaysia pada tahun 2007. Sebelum ini, beiau terpaksan menumpang bahan dan peralatannya di balai raya kampung tersebut yang terletak di hadapan rumahnya. Dengan adanya bengkel baru ini, beliau dapat menjalankan latihan kepada generasi muda yang berminat serta menjalankan perusahaan rebana ubi ini dengan lebih teratur.

Bagi menghargai semangat dan kemahiran beliau ini, Kraftangan Malaysia telah melantik Encik Mat Yaacob bin Awang Besar sebagai Adiguru Kraf Rebana Ubi pada tahun 2006.

Malaysian Handicraft Development Corporation

  • Kuala Lumpur Craft Complex, Section 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Copyright Reserved © 2021 Malaysian Handicraft Development Corporation. Updated : 26/11/22 • Total Visitor : 21296563
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map