Adiguru Kraf Anyaman Rombong

Allahyarhamah Puan Hajah Aminah binti Haji Amat

Nama
Allahyarhamah Puan Hajah Aminah binti Haji Amat
Bidang Kraf
Hasil Rimba (Anyaman Rombong)
Adiguru
Adiguru Kraf Anyaman Rombong
Negeri
Melaka
Tarikh Lahir
1928 - Februari 2003
Lantikan Pertama
1988
There is no translation available.

PENGLIBATAN AWAL

Sebelum penggunaan beg diperkenalkan, masyarakat menggunakan Rombong sebagai bekas bagi penyimpanan pakaian dan barangan. Terdapat dua jenis rombong iaitu bersaiz besar yang diperbuat daripada daun pandan mengkuang dan bersaiz kecil daripada daun pandan yang lebih berseni anyamannya.

Menurut riwayat sejarah seni kraf anyaman rombong ini bermula dari kisah seorang Orang Asli yang merajuk dengan keluarganya telah membawa diri ke atas sebuah pokok kelapa. Sambil melayan hati yang rajuk, beliau telah menganyam anyaman yang dikenali sebagai rombong menggunakan daun-daun kelapa tersebut. Teknik anyamannya yang sukar itu kemudiannya dikenali sebagai teknik “Anyaman Gila”. Seni kraf anyaman rombong menggunakan teknik berkenaan kini giat diusahakan oleh kaum wanita di daerah Tanjung Keling, Melaka.



Salah seorang pakar dalam membuat anyaman rombong adalah Allahyarhamah Puan Hajah Aminah binti Haji Amat. Beliau dilahirkan pada tahun 1928 di Kampung Tanjung Keling, Melaka dan dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai kemahiran menganyam. Beliau melibatkan diri dalam bidang pembuatan kraf rombong seawal usia 12 tahun. Ilmu seni pembuatan produk kraf rombong ini diwarisi daripada ibunya.

Allahyarhamah Puan Hajah Aminah pernah mengikuti sesi pembelajaran sekolah kebangsaan sehingga darjah dua. Kemudian beliau dihantar keluarganya untuk belajar di sekolah agama. Kehidupan ketika itu amat menitikberatkan adat resam dalam kehidupan mendorong anak-anak perempuan dilatih dan diasuh dalam urusan rumah tangga termasuk kemahiran kerja tangan seperti menenun dan menganyam.

Tradisi ini turut diamalkan di dalam keluarga Allahyarhamah Puan Hajah Aminah. Sejak sewal usia remaja beliau diberi tanggungjawab membantu ibu dan neneknya menyiapkan tempahan pelanggan. Peringkat awalnya beliau diberi tugas menyisip atau menyusun bilah-bilah mengkuang yang akan dianyam. Kemudian beliau diajar bagaimana menganyam, membentuk dan menghias rombong oleh ibu dan neneknya.



DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Galakan dan tunjuk ajar daripada keluarga menyebabkan Allahyarhamah Puan Hajah Aminah berjaya menguasai kemahiran menganyam rombong. Motif-motif Bunga Tanjung, Bunga Cengkih, Pucuk Rebung dan Potong Wajik antara reka corak yang menjadi identiti anyaman rombong Allahyarhamah Puan Hajah Aminah. Kerja-kerja mengambil daun mengkuang, melayur, menjangka, melurut sehinggalah proses menganyam rombong dilakukan beliau sendiri dengan dibantu oleh anak perempuan beliau.



Pada mulanya beliau hanya memasarkan barangan rombong melalui orang tengah tetapi lama-kelamaan beliau mula memasarkan produk secara sendiri dengan bantuan daripada Kraftangan Malaysia. hasil produk rombong beliau juga telah mula dipelbagaikan seperti bekas bagi penyimpanan pakaian, bunga telur, bekas simpanan barangan kemas dan sebagainya. Berkat kesungguhan dan usaha beliau yang tidak mengenal putus asa, beliau telah mampu menghasilkan 10 biji sehari melalui inovasi pemprosesan bahan mentah dan teknik anyaman yang lebih mudah.

PENCAPAIAN DAN SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT

Beliau turut mengajar penduduk-penduduk setempat membuat anyaman rombong tanpa mengambil sebarang yuran demi memastikan kesinambungan seni warisan kraf anyaman rombong ini. Hasilnya, beliau telah berjaya melahirkan beberapa orang yang berkemahiran membuat barangan anyaman rombong.

Selain daripada mengajar orang perseorangan, Puan Hajah Aminah juga mengajar pelajar-pelajar sekolah sekitar negeri Melaka. Berkat ketekunan dan kesungguhan beliau semasa hayatnya dalam menghidupkan semula kraf warisan telah mendapat perhatian.



Pada tahun 1988, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Anyaman Rombong bagi menghargai sumbangannya dalam memulihara dan memelihara seni kemahiran ini. Beliau telah meninggal dunia pada Februari 2003. Semoga roh Allahyarhamah Puan Hajah Aminah binti Haji Amat dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman.

Malaysian Handicraft Development Corporation

  • Kuala Lumpur Craft Complex, Section 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Copyright Reserved © 2021 Malaysian Handicraft Development Corporation. Updated : 26/11/22 • Total Visitor : 21296549
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map