Adiguru Kraf Logam dan Tokoh Kraf Negara

Allahyarham Tuan Haji Ab. Manan bin Haji Yakub

Nama
Allahyarham Tuan Haji Ab. Manan bin Haji Yakub
Bidang Kraf
Logam
Adiguru
Adiguru Kraf Logam dan Tokoh Kraf Negara
Tokoh Kraf
Tokoh Kraf Negara
Negeri
Kelantan
Tarikh Lahir
10 Jun 1944 - 1 Januari 2001
Lantikan Pertama
2008
Tahun Lantikan Tokoh Kraf Negara
2011
There is no translation available.

LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Allahyarham Tuan Haji Ab. Manan bin Haji Yakub atau lebih dikenali sebagai Pok Teh adalah anak jati Kampung Sireh Kota Bharu, Kelantan yang merupakan kawasan utama pertukangan perak sejak dahulu lagi. Beliau dilahirkan pada 10 Jun 1944, mtelah didedahkan dengan kerja-kerja pertukangan perak ketika berusia seawal 7 tahun.

Sejak kecil, beliau sering memerhatikan kerja pertukangan bapanya, Allahyarham Haji Yakub bin Mohamad yang merupakan seorang tukang perak mahir menghasilkan barangan kraf perak untuk pegawai-pegawai Inggeris selain menerima tempahan dari istana. Bermula seawal usia 14 tahun (pada tahun 1958), Allahyarham Pok Teh mula serius mendalami kemahiran pertukangan perak daripada bapanya. Allahyarham Pok Teh mendapat pendidikan tertinggi di Sekolah Menengah Padang Garong Kota Bharu, Kelantan. Hasil perkahwinannya bersama Limah binti Che Abdullah, mereka dikurniakan 8 orang anak.

Berbekalkan kesedaran, minat dan semangat yang tinggi bahawa kraf perak tradisional perlu dipertahankan, beliau terus berusaha gigih bagi memartabatkan seni pertukangan kraf perak di kalangan masyarakat Melayu. Setelah bapa beliau meninggal dunia pada tahun 1977, Allahyarham meneruskan usaha bapanya dalam pertukangan perak secara kecil-kecilan.



KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

Menjelang awal tahun 1980-an, Allahyarham Tuan Haji Ab. Manan giat mengusahakan seni pertukangan perak melalui beberapa agensi dan pertubuhan seperti Kelantan Malay Arts, Koperasi Kampung Morak, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan muzium-muzium. Selain aktif mengusahakan perusahaannya, beliau turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di sekitar Kota Bharu, Kelantan. Usaha dan kesungguhan beliau mula membuahkan hasil dengan tertubuhnya Syarikat KB Permai yang ditubuhkan pada tahun 1985. Sehingga kini syarikat yang dimilikinya mempunyai pekerja-pekerja yang amat berkemahiran dalam pertukangan perak.

Allahyarham Tuan Haji Ab. Manan sering mengguna dan menggubah reka corak yang berunsurkan motif flora untuk disesuaikan dengan bentuk produk kraf mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan. Karya atau reka cipta yang dihasilkan beliau sering dijadikan hiasan dan cenderamata oleh pihak Istana Kelantan seperti Payung Adat Istiadat, Kepala Logo Kenderaan Istana dan Cokmar. Beliau sering mendapat tempahan membuat cokmar dari Dewan Undangan Negeri, Institusi Pengajian Tinggi, Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri Pahang. Hasil kerja tangan beliau telah mendapat perhatian dari Kerajaan Malaysia apabila menerima tempahan produk perak untuk cenderamata kepada bekas Setiausaha Agung PBB (Koffi Annan) pada tahun 2005.



Berikut merupakan produk-produk yang telah dihasilkan oleh beliau :
  1. Cokmar Dewan Undangan Negeri Terengganu – 1980
  2. Bekas Renjisan Air Mawar Istana Negara – 1990
  3. Piala Perdana Sukma – Majlis Sukan Negara – 1990
  4. Cenderamata Undangan Rasmi SUKOM 98 Berhad - 1998
  5. Piala Olahragawan Negeri Pahang – Majlis Sukan Negeri Pahang – 1999
  6. Cokmar Universiti Tun Abdul Razak – 2000
  7. Cokmar Universiti Putera Malaysia – 2000
  8. Keris Istiadat Cokmar Universiti Industri Selangor (Unisel) – 2001
  9. Piala Anugerah Olahragawan / Olahragawati Kebangsaan –Majlis Sukan Negara (MSN) 2002
  10. Cokmar Institut Iktisad Kemajuan Pahang (IKIP) -2005
  11. Cokmar Universiti Teknikal Malaysia - 2007
  12. Gong Bertanduk Tempahan Sultan Muhammad Ke V (Istana Kelantan) -2010
  13. Cokmar Kolej Universiti Perubatan Cyberjaya – 2010
Pada tahun 2008, karya seni beliau telah dipilih oleh Kerajaan Malaysia untuk dipasarkan di Gedung Membeli Belah Harrods, London.

PENGIKTIRAFAN HASIL KARYA DAN REKA CIPTA TOKOH

Antara penganugerahan dan pengiktirafan yang diterima oleh beliau ialah :
  1. Sekitar tahun 1970-an beliau pernah menyertai pameran dan memenangi tempat ke dua kraf perak yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia;
  2. Pada tahun 1993 beliau telah dilantik sebagai Tukang Kraf Istana Kelantan oleh pihak Istana Kelantan.
  3. Beliau menerima Anugerah Usahawan Seni Kraf dalam bidang perak dari Kerajaan Malaysia pada tahun 2007.
  4. Pada Tahun 2008 beliau telah menerima Anugerah Industri Pelancongan Negeri Kelantan kategori produk kraf perak.



SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

Allahyarham Tuan Haji Abdul Manan tidak pernah mengenal erti jemu untuk menurunkan kemahiran pertukangan kraf perak kepada golongan muda yang berminat untuk mempelajari kemahiran ini .

Sesiapa sahaja yang berminat mendekati beliau terutama pekerja-pekerja syarikat KB Permai akan sedikit sebanyak menimba ilmu pertukangan dan menjadi harapan beliau agar kemahiran ini akan diwarisi oleh seseorang. Dua orang anak beliau iaitu Puan Harnaini binti Abdul Manan dan Encik Hasnan bin Abdul Manan yang turut menjejaki langkahnya. Kedua-duanya mengusahakan kedai dan bengkel pertukangan emas perak di daerah Pasir Puteh dan Kota Bharu, Kelantan. Anak-anak saudara beliau juga turut mewarisi ilmu kraf pertukangan perak berkenaan.

Pejabat Istana Negeri Kelantan menjadikan beliau sebagai pakar rujuk untuk penghasilan dan tempahan produk-produk perak di Istana Kelantan. Beliau merupakan Tukang Perak Khas Istana Negeri Kelantan yang dilantik oleh Pejabat Sultan Kelantan untuk menghasilkan produk-produk kraf perak tempahan khusus Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan.



Beliau juga menerima bekas-bekas pelatih Latihan Jangka Pendek yang dijalankan di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan untuk menimba lebih ilmu pertukangan kraf perak. Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan juga pernah menggunakan khidmat beliau sebagai pakar rujuk dan panel penilai bagi produk perak yang dihasilkan oleh peserta Latihan Jangka Pendek Pahatan Perak yang dijalankan pada tahun 2009. Beliau turut membantu mempromosikan barangan kraf perak dengan menyertai beberapa siri pameran dan demonstrasi di dalam dan luar negara termasuklah yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia.

Pada tahun 2008, beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Perak oleh Kraftangan Malaysia bersama pengiktirafan Anugerah Industri Pelancongan Negeri Kelantan mengikut kategori produk kraf tempatan. Selain itu, beliau juga pernah menerima Anugerah Usahawan Seni Kraf Bidang Perak dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 2007. Beliau yang telah dijemput Illahi pada 1 Januari 2011 telah dianugerahkan Tokoh Kraf Negara pada tahun yang sama. Semoga roh beliau dirahmatiNya dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman.

Malaysian Handicraft Development Corporation

  • Kuala Lumpur Craft Complex, Section 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Copyright Reserved © 2021 Malaysian Handicraft Development Corporation. Updated : 26/11/22 • Total Visitor : 21296565
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map