Adiguru Kraf Ukiran Halus dan Tokoh Kraf Negara

Allahyarham Tengku Ibrahim bin Tengku Wook

Nama
Allahyarham Tengku Ibrahim bin Tengku Wook
Bidang Kraf
Ukiran Halus
Adiguru
Adiguru Kraf Ukiran Halus dan Tokoh Kraf Negara
Tokoh Kraf
Tokoh Kraf Negara
Negeri
Terengganu
Tarikh Lahir
1929 - 2000
Lantikan Pertama
1995
Tahun Lantikan Tokoh Kraf Negara
1998
There is no translation available.

LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Sejarah membuktikan bahawa semenjak 500 tahun yang lalu, orang-orang Melayu telah memberi perhatian istimewa terhadap seni ukiran halus. Seni ukiran halus yang dihasilkan ini bukan sahaja dikenali oleh masyarakat tempatan malah turut mendapat tempat di hati para pelancong asing.

Dr. Othman Bin Yatim Kurator Kesenian Timur dan Islam, Muzium Negara berpendapat :

“Seni ukiran kayu dan kemahiran Melayu dalam bidang ini telah wujud, sekurang-kurangnya sejak zaman kesultanan Melaka lagi. Seni ini melambangkan ketinggian daya kreativiti dan kehalusan cita rasa masyarakat penciptanya. Walaupun seni tradisi ini terpaksa menghadapi cabaran hasil dari pertembungan budaya tradisi dan budaya luar.”





Allahyarham Tengku Ibrahim dilahirkan pada tahun 1929 di Kampung Gong Kemuntong, Besut Terengganu. Beliau merupakan salah seorang pencinta seni yang menjalankan aktiviti mengukir ukiran halus seperti hulu dan sarung keris, tongkat, katil, rumah dan barangan lainnya. Ukiran halus yang dihasilkan beliau sememangnya tinggi nilai seni mutunya. Sejak dari kecil lagi beliau telah didedahkan dengan teknik-teknik mengukir yang baik daripada ayahnya yang juga merupakan salah seorang pengukir yang masyhur.

Apabila usianya meningkat belasan tahun barulah beliau mula melibatkan diri dengan ukiran halus ini dan mula mendirikan bengkel di belakang rumahnya sendiri. Bengkel yang tidak seberapa ini, dilengkapi dengan peralatan yang baik. Kemampuan Allahyarham Tengku Ibrahim bukan sahaja dari segi pembuatan barangan kraf malah beliau juga mampu melahirkan ataupun mereka cipta peralatan mengukir dengan sendiri. Antara peralatan yang dibuat sendiri adalah seperti pahat, set penebuk lubang, semawar serta menajamkan pahat.



Ilmu yang terdapat pada beliau tidak dipendam begitu sahaja. Pada awal tahun 1970-1985 beliau mengajar penduduk-penduduk setempat kemahiran mengukir yang dimilikinya. Selain daripada mengajar penduduk setempat, Ilmu yang terdapat pada beliau tidak dipendam begitu sahaja. Pada awal tahun 1970-1985 beliau mengajar penduduk-penduduk setempat mengukir dan terdapat para pengukir yang kini mahir di bawah bimbingan beliau di antaranya ialah Norhaiza. Selain daripada mengajar penduduk setempat, Allahyarham Tengku Ibrahim juga mengajar belia di bawah jagaan IRDA dan juga pelatih-pelatih di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Kehalusan dan mutu ukiran yang tinggi menjadikan barangan yang dihasilkan beliau meningkat harga dan mempunyai pasaran yang luas. Beliau pernah menghasilkan ukiran halus untuk Yang Amat Berbahagia Tun Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri Malaysia), Sultan Azlan Shah, Tuan Haji Haida serta beberapa orang kenamaan lainnya yang tidak dapat diingat oleh beliau. Penghasilan ukiran beliau juga mendapat tempat daripada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Perdana Menteri, Muzium Kelantan, Muzium Terengganu, Muzium Negeri Pahang dan kerajaan negara Brunei Darussalam.

KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN

Keistimewaan Allahyarham Tengku Ibrahim juga adalah dalam menghasilkan motif-motif menggunakan motif tersendiri dan bunga-bungaan tersendiri. Kejayaan beliau juga terserlah apabila Dato’ Seri Marina binti Mahathir menghasilkan buku bertajuk ‘The Craft of Malaysia’ dan beliau adalah seorang tukang kraf yang menjadi pilihan kerana kehalusan produk ukiran yang dihasilkan.



Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wook juga seorang tokoh yang mahir dalam membuat pemilihan bahan mentah. Bahan mentah kayu yang lazim digunakan adalah kayu kemuning putih dan hitam. Di samping kayu Tengku Ibrahim gemar mengukir taduk, gigi ikan, gading dan bahan-bahan kayu lainnya.



Barangan ukiran yang dihasilkan juga disesuaikan dengan bahan mentah. Contohnya ukiran kepala buaya akan diukir atas gading gajah yang lebih menampakkan kesenian dan keistimewaan tersendiri.

Kemahirannya mengukir dengan cara manual adalah keistimewaan dalam dirinya. Selama penglibatan kira-kira 30 tahun banyak pengalaman yang ditimba menjadi panduan memahirkan lagi bakatnya.

SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT

Sebagai pewaris kemahiran dari ayahnya, beliau amatlah berbesar hati dan berhasrat menjadikan bidang ukiran halus sebagai warisan generasinya. Beliau juga tidak keberatan mencurahkan ilmunya kepada mereka yang benar-benar berminat. Biasanya masa untuk mengajar secara teori dan cara-cara menghasilkan ukiran halus, diatur pada waktu-waktu tertentu. Beliau juga pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan seperti MARA dan Pejabat Kebudayaan dalam bidang ukiran halus.



Pencapaian Allahyarham Tengku Ibrahim memang membanggakan. Berkat kesungguhan, ketelitian dan keinginan yang kuat, beliau kian popular di kalangan peminat-peminat seni ukiran Melayu khususnya dari golongan istana. Sesuailah dengan kebolehannya itu, beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Halus pada tahun 1995 dan seterunya diiktiraf oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sebagai Tokoh Kraf Negara pada tahun 1998.

Malaysian Handicraft Development Corporation

  • Kuala Lumpur Craft Complex, Section 63, Jalan Conlay 50450 Kuala Lumpur
  • 03 2162 7459
  • 03 2161 2622
  • This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Copyright Reserved © 2021 Malaysian Handicraft Development Corporation. Updated : 26/11/22 • Total Visitor : 21296552
bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map