.
 

Adiguru


Adiguru Kraf ialah seseorang yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai seorang tokoh / master craftsmen setelah mereka menepati kriteria-kriteria seperti berikut:-
  • Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang kraf kepakarannya atau ahli di dalam seni kemahiran ketukangan, penciptaan, penggubahan produk dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia.
  • Memainkan peranan penting dalam usaha memulih dan memelihara  seni kraf warisan.
  • Bersungguh-sungguh menurunkan kemahiran kepada kumpulan pelapis agar seni kraf warisan berkenaan mempunyai kesinambungan.
  • Kreatif dan inovatif dalam usaha memaju dan meningkatkan kualiti produk kraf yang dihasilkan.


Bangie a/k Embol
Adiguru Tenunan Pua (2000)
Negeri : Sarawak
KEPIMPINAN DAN INTELEKTUAL Puan Bangie telah melibatkan diri dalam bidang seni tenunan pua lebih kurang 40 tahun. Mewarisi seni kemahiran dari kedua ibubapanya sejak remaja lagi dan kini diwarisi oleh dua orang anak perempuannya agar seni warisan keluarga kekal oleh keturunannya. Beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal di sekolah tetapi hasil didikan dan pengajaran ilmu kemahiran yang diterima dari ibubapanya, Puan Bangie merupakan antara tokoh yang berjaya dalam bidang seni kraf tenunan. Tiga perkara yang menjadi pendorong kepada beliau supaya meneruskan seni tenunan tradisi ini iaitu:- i. Tenunan pua merupakan tenunan warisan yang perlu dipertahankan agar terus berkembang. ii. Beliau ingin menjadi penenun pua yang cemerlang dan terbilang. iii. Beliau ingin memartabatkan seni kemahiran masyarakat Iban. Semangat kepimpinannya untuk melihat seni warisan kraf dipelihara dan diwarisi oleh anak-anak tempatan, pencinta seni dan individu luar menyebabkan beliau sanggup mengadakan bengkel, kursus dan latihan kepada mereka yang ingin mempelajarinya. Hasilnya, terdapat anak didiknya yang mahir dalam bidang menenun. DAYA KREATIVITI DAN INOVASI Mempunyai daya kreatviti dalam teknik tenunan, reka corak/motif dan kekemasan dalam penghasilan tenunan pua. Beliau berkemahiran menghasilkan dan mencipta reka corak dan motif yang indah dan mempunyai nilai-nilai estetika yang tersendiri. Antara motif tenunan pua yang dihasilkan seperti bunga rang jugah, bunga buah sepuyong dan bunga bali malikut. Beliau juga berupaya menterjemahkan rekaan pelanggan melalui tenunan pua . Di samping motif-motif tradisional, beliau turut mereka motif-motif kontemporari yang dapat memenuhi cita rasa pelanggan yang terdiri daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Kebiasaannya beliau menggunakan benang kapas dalam tenunan pua. Kini beliau turut menggunakan benang sutera bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pasaran. Selain daripada itu keunikan tenunan beliau kerana menggunakan bahan semula jadi untuk menghasilkan warna di samping penggunaan warna sintatik yang lebih mudah proses penghasilannya. Jenis produk yang dihasilkan oleh beliau kain pua kumbu dan hiasan berasaskan tenunan pua. SUMBANGAN KEPADA INDUSTRI DAN MASYARAKAT Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang seni tenunan pua, pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta diceburinya tanpa sebarang alasan dengan niat untuk memperkenalkan tenunan pua di persada antarabangsa. Sumbangannya tidak setakat di situ sahaja, bagi memastikan seni warisan ini di warisi oleh generasi seterusnya beliau telah memberi pengajaran kepada anak-anak tempatan melalui bengkel, kursus dan kelas bimbingan yang diadakannya. 1994-1995 a. Menjadi jurutunjuk kelas tenunan pua anjuran Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarakup Dayak Iban Association (SADIA) Pampang b. Menjadi jurutunjuk tenunan pua kepada pelatih Kraftangan Malaysia. Mempromosi tenunan pua di dalam dan luar Negara. i. Menyertai demonstrasi tenunan pua di dalam Pameran Pua Kumbu di Ethnographis Museum, Sweden pada tahun 1999. ii. Menyertai pameran dan demonstrasi di Paris, Bangkok, Manila dan Singapura. Kepakaran dan kemahirannya dalam menenun serta mereka corak tenun pua telah menarik perhatian masyarakat setempat, masyarakat luar dan pelancong luar untuk memiliki hasil kerja tangannya. 2000 Dilantik sebagai Adiguru Kraf Tenun Pua oleh Kraftangan Malaysia. 1998 a. Menyertai pertandingan Penggunaan Warna Asli Dalam Tenun Ikat (Pua) anjuran UNESCO di Bangkok dan menangi hadiah pertama . b. Menyertai pertanding Pua Kumbu anjuran ‘The Tun Jugah Foundation’. c. Menyertai pertandingan Kraftangan Peringkat Negeri Sarawak anjuran Sarawak Craft Council. 1990 Menyertai pertandingan Wicitra anjuran Kraftangan Malaysia. Kemahiran beliau diwarisi oleh anak perempuan beliau iaitu Rose ak Timbang.

Kraftangan Tag Cloud

Undian Kraftangan

Adakah anda berpuashati dengan Laman Web Kraftangan?