.
 

Sejarah Kraftangan

Bangunan Pertama , Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur


Semenanjung Malaysia terletak di hujung Benua Asia dengan tanah yang menganjur mensusuri Laut China Selatan dan Selat Melaka. Kedudukan geografi ini menjadikan Malaysia salah satu laluan perdagangan utama dunia. Menyusuri galur warisan kraftangan Malaysia faktor geografi ini berperanan membentuk keperibadian hasil ketukangan kraftangan negara. Pedagang-pedagang dari India, Asia Barat dan China membawa hasil dagangan bersama budaya yang kini mewarnai rupa bentuk kraf tanah air. Abad ke 19 pelbagai seni kraf berkembang di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak. Tukang-tukang kraf ketika itu bernaung di bawah pengaruh istana dan pembesar-pembesar negeri, menjadikan seni kraf tempatan tidak berkembang dan digunakan sebagai kegunaan istana semata-mata.Tahun 1930 sekumpulan pegawai awam Melayu dan Inggeris telah menubuhkan Persatuan Kesenian dan Pertukangan Melayu Kelantan.

Buat pertama kalinya hasil kraf Negara dipasarkan di bandar-bandar dan Singapura. Inilah detik perkembangan seni kraf tempatan. Pameran tahunan yang dikelolakan oleh Persatuan Pertanian dan Perkebunan Malaya (MAHA) memberi ruang pasaran kepada produk kraf. Program MAHA berkonsepkan astaka ini telah mengenengahkan demonstrasi kraf sebagai aktiviti utama. Negeri-negeri mula mengambil langkah memajukan seni kraf dengan bermulanya Negeri Kedah menubuhkan sekolah pertukangan untuk melatih penuntut dalam bidang kraf emas, perak, mengecap batik, tembikar dan tenunan. Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah memulakan sekolah tenunan pada tahun 1935 dan 1959 sekolah tenun ditukar kepada Sekolah Latihan Gadis-Gadis.

Penubuhan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA) memberi nafas baru kepada perusahaan kraftangan dengan menyalurkan bantuan kepada pengusaha-pengusaha luar Bandar dalam bentuk kewangan, latihan kemahiran, bahan mentah dan saluran pasaran.Pada tahun 1966 Majlis Amanah Rakyat (MARA) ditubuhkan bagi meneruskan peranan RIDA dan di bawah MARA Pusat Kemajuan Pertukangan Tangan diwujudkan pada 1 Januari 1967. Selain saluran bantuan pusat ini berperanan membuat penyelidikan teknik, rekabentuk dan rekacorak.

Tahun-tahun 70an industri plastik mula mewarnai pasaran dunia dan titik inilah bermulanya kesedaran dan penghargaan terhadap seni ketukangan tanah air. Maka tercetuslah semangat baru yang optimis terhadap karya-karya seni dimensi baru. Era baru perkembangan seni kraf ini menimbulkan semangat keusahawanan dan pada masa itulah tertubuhnya Lembaga Kraftangan Malaysia pada 14 Mei 1973.Dalam usaha untuk terus meningkatkan industri kraf tempatan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia atau Kraftangan Malaysia telah ditubuhnya pada 1 Oktober 1979 di bawah akta 222. Kini Kraftangan Malaysia telah mencapai usia 37 tahun.

Kraftangan Tag Cloud

Undian Kraftangan

Adakah anda berpuashati dengan Laman Web Kraftangan?